5 Individu Dikompaun Kerana Majlis Kenduri Sambut Kelahiran Cucu | Lima individu dikompaun sebanyak RM4,000 setiap seorang selepas didapati berkumpul di satu majlis kenduri menyambut kelahiran cucu di sebuah rumah di Kampung Sungai Lalang, Sungai Petani, malam tadi.

5 Individu Dikompaun Kerana Majlis Kenduri Sambut Kelahiran Cucu

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lima individu yang dikompaun itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 61 tahun.

Menurutnya, pasukan pemantau Covid-19 dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Muda menerima maklumat awam berhubung majlis kenduri yang diadakan rumah berkenaan pada jam 9 malam.

Sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati lima individu terbabit sedang berkumpul di majlis kenduri itu serta tidak mematuhi penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka dan kesemua individu terbabit dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan kompaun.

Adzli berkata, hasil siasatan mendapati kesemua individu terbabit yang menetap di sekitar daerah ini mengadakan kenduri kesyukuran untuk menyambut kelahiran cucu seorang daripada mereka yang dipercayai tuan rumah.

Beliau berkata, pemeriksaan juga mendapati kesemua mereka adalah tetamu jemputan yang juga merupakan rakan kepada tuan rumah yang diundang ke majlis itu.

Kesemua mereka diterangkan kesalahan dilakukan dan dikeluarkan kompaun sebanyak RM4,000 seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Kesemua mereka dikompaun mengikut Perkara 9 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Tambahnya, kesemua individu terbabit diterangkan perlu menjelaskan kompaun yang dikenakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun di keluarkan di Pusat Kesihatan Daerah.

Sumber: Metro

Share.

Leave A Reply