529 Permohonan Untuk Rentas Negeri, Daerah Ditolak Sempena Aidilfitri | Sambutan hari raya pada tahun ini sangat berbeza dari tahun-tahun yang sebelumnya ekoran penularan wabak Covid-19 yang melanda. Seperti tahun lepas, umat Islam di negara ini bakal menyambut hari raya dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat jumlah kes yang semakin meningkat dari hari ke hari.
Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diumumkan beberapa hari yang lalu, namun terdapat segelintir masyarakat yang tekad ingin pulang beraya di kampung halaman meskipun pihak polis tidak membenarkan mereka untuk merentasi negeri dan juga daerah.
Baru-baru ini, polis Johor telah menolak sebanyak 529 daripada 25,222 permohonan orang ramai bagi merentas daerah dan negeri sempena Aidilfitri mulai 5 Mei hingga 11 Mei.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, berbanding sebelumnya iaitu bagi tempoh 28 April hingga 4 Mei, sebanyak 202 permohonan daripada 15,200 permohonan telah ditolak oleh pihak polis bagi kenderaan yang cuba merentas negeri dan daerah.
Menurutnya, bilangan permohonan yang ditolak meningkat sebanyak 327 atau 100 peratus berikutan tidak mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan.
Beliau berkata, sekatan jalan raya (SJR) juga ditambah pihaknya iaitu daripada 35 kepada 50 merangkumi 12 di lebuh raya, lapan bagi Ops benteng, 10 bagi sempadan negeri dan 20 bagi jalan persekutuan.
Menurutnya, seramai 767 anggota termasuk daripada agensi berkaitan akan ditempatkan di SJR, manakala seramai 260 anggota menerusi pasukan pemantauan dan 150 kereta peronda polis (MPV) akan menjalankan operasi pematuhan SOP.
“Semalam, sebanyak 39 daripada 28,364 kenderaan yang diperiksa diarahkan berpatah balik kerana memberi alasan tidak munasabah termasuk ada yang menggunakan surat kebenaran yang sudah tamat tempoh.
“Polis akan memeriksa secara teliti termasuk melihat butiran dokumen berkenaan.
“Laluan tikus juga dikenali pasti di Segamat dan kita akan mempertingkatkan lagi kawalan. Sehingga kini, tiada sebarang tangkapan dilakukan di laluan tikus dan pemantauan juga dilakukan di laluan tikus di laut menerusi Ops benteng,” katanya ketika sidang media di Pasar Awam Larkin Sentral di sini, hari ini.
Ayob berkata, semua pegawai dan anggota polis juga sudah divaksin bagi memastikan keselamatan anggota barisan hadapan berkenaan.
Bukan itu sahaja, beliau turut menasihati orang ramai supaya mengehadkan pergerakan dan sentiasa mematuhi SOP sepanjang sambutan Aidilfitri.
Sumber: Harian Metro