‘Raya Bagi Kami Seolah-olah Sudah Tiada Makna Lagi’

| May 11, 2021 | 0 Comments

‘Raya Bagi Kami Seolah-olah Sudah Tiada Makna Lagi’ | Menjelang Aidilfitri pada esok hari semestinya umat Islam tatkala ini sedang berseronok membuat persiapan bagi sambutan hari raya walaupun hanya dibenarkan untuk menyambut sehari sahaja ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, sebaliknya yang berlaku kepada penduduk di Kampung Masjid, Balingian apabila segelintir rumah di situ mengalami kebakaran.

Raya Bagi Kami Seolah-olah Sudah Tiada Makna Lagi

Mukah: “Walaupun hanya dibenarkan untuk menyambut Aidilfitri sehari saja, kami teruja untuk meraikannya dan semua persiapan sudah dibuat.

“Namun, semuanya musnah hari ini,” kata Zuria Tahir, seorang daripada mangsa kebakaran rumah di Kampung Masjid, Balingian, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pada jam 9 pagi itu, seramai 17 penduduk di kampung berkenaan dipercayai hilang tempat tinggal dengan tiga lagi rumah berdekatan hangus terbakar.

Zuria, 41, berkata hatinya luluh apabila musibah itu berlaku sehari sebelum mereka ingin menyambut Aidilfitri, namun dia reda dan yakin ada hikmah di sebalik kejadian itu.

“Semuanya sudah kami siapkan untuk menyambut raya esok, Baju baharu, langsir, malah kek raya sudah disediakan.

“Kini semuanya lenyap dalam sekelip mata dan raya bagi kami juga seolah-olah sudah tiada makna lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian kebanyakan penduduk di situ sedang berada di luar rumah dan mereka hanya menyedari kebakaran tersebut apabila api sudah semakin marak.

“Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa, namun bersyukur kerana semuanya selamat dan tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya yang tinggal bersama suami, ibu, dua anak serta menantunya di rumah itu.

Dalam pada itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 9.15 pagi.

Beliau berkata, sejurus menerima panggilan tersebut sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah dikejarkan ke lokasi yang terletak 60 kilometer.

Katanya, pasukan bomba sukarela Balingian turut diarahkan bagi membuat tindakan awal di tempat kejadian sementara menunggu ketibaan jentera bomba dari Mukah.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati tiga rumah hangus terbakar, manakala sebuah lagi terbakar kira-kira 10 peratus. Api berjaya dikawal sepenuhnya jam 10.20 pagi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Tags: , , , , , ,

Category: INFORMASI, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *