Gaza Diserang. Ini Komen Berani Dr Maza Buat Ramai Respek | Ekoran ramai penduduk Gaza terkorban, yang kebanyakkannya adalah wanita dan kanak-kanak, ini komen berani Dr Maza buat ramai respek.

Daerah Kecil Tapi Sangat Mengancam

Gaza hanyalah seluas 365 km persegi, iaitu kurang separuh dibandingkan keluasan Negeri Perlis (819 km persegi). Bersempadan dengan Zionis Israel yang kejam dan zalim.

Juga bersempadan dengan Negara Mesir yang sukar membuka border mereka untuk membolehkan rakyat Gaza menikmati hidup kecuali pada zaman Presiden Mursi yang lepas.

Bahkan Mesir di pentas antarabangsa lebih berpihak kepada Israel dibandingkan rakyat Palestin di Gaza. Kita hanya dapat masuk ke Gaza, jika Mesir membuka laluan.

Pun begitu, dalam kesempitan tanah dan hidup, rakyat Gaza satu-satu masyarakat Arab yang berupaya membalas tindakan jahat Israel. Wilayah yang sekecil dan sedaif itu, mampu membedil Tel Aviv dan memasukkan ketakutan ke dalam jiwa zionis yang dilaknat.

Hal seperti itu tidak mampu dilakukan oleh negara-negara Arab yang sebahagian pemimpin sentiasa berpakaian tentera tetapi hanya mampu menangkap dan membunuh rakyat sendiri.

Mesir yang bersempadan dengan Israel umpamanya, membunuh ramai rakyatnya sendiri dibandingkan Zionis yang berjiran dengannya. Kelengkapan tenteranya yang kuat tidak pernah digunakan untuk menggugat Israel melainkan seketika pada zaman Jamal Abdun Nasir.

Itupun terhenti apabila Kuasa-kuasa Besar tidak ‘redha’. Sementara Mursi sebuah pemerintahan yang lemah dan dirampas oleh Sisi.

Negara-negara Arab yang bersempadan dengan Israel ialah Mesir, Jordan, Syria dan Lubnan.

Adapun Jordan banyak berpihak pada rakyat Palestin tapi tidak kuat dari segi ketenteraan dibandingkan Israel. Syria dengan ketaatannya. Usah bicara tentang negara-negara Arab lain yang tidak bersempadan dengan Israel.

Mereka pun turut menjaga hati Amerika dengan cuba tidak berkasar terhadap Israel. Bahkan UAE melangkah lebih jauh dengan menjalinkan hubungan mesra dengan Israel kebelakangan ini.

Rakyat Gaza, sekurang-kurangnya bermaruah, tidak membiarkan diri mereka dipijak sekalipun mereka daif dan kerdil. Roket-roket yang dilancarkan ke Israel mengangkat maruah Umat Islam dan memberikan inspirasi buat kaum yang tertindas. Menang dan kalah adat perjuangan. Namun, jiwa bermaruah ada prinsip kehidupan.

Demikianlah, jika kita mahu hidup bermaruah kita mampu lakukan sekalipun kita lemah dan terpaksa berkorban. Jika tidak, kita akan menjadi bangsat di bawah orang lain, sekalipun nampak macam kuat dan kaya.

Pengalaman Waktu Belajar Dahulu

Pada zaman saya belajar di Jordan, di masa itu, semangat perjuangan Islam membebaskan al-Aqsa begitu memuncak. Demonstrasi, mahrajan, pidato, khutbah, nasyid serta lagu, syair dan segalanya akan dikaitkan dengan isu Palestin. Al-Syeikh Ahmad Yasin masih hidup ketika itu. Tokoh-tokoh seperti al-Syeikh Dr. Solah al-Khalidi, al-Syeikh Dr Abd al-Qadir Abu Faris r.h, al-Syeikh Dr Hamman Said dan ramai lagi guru-guru kami menghiasi langit perjuangan dengan penuh keberanian.

Gema perjuangan jihad membebaskan Palestin membaluti setiap hari kehidupan kami di sana. Nasyid-nasyid indah tentang al-Quds sentiasa berkumandang menerjah telinga kami. Ia panggilan penuh semangat, bahkan ia panggilan darah. Sehingga pernah beberapa saya kali berfikir untuk tidak mahu pulang kerana ingin mati syahid di al-Aqsa.

Pengalaman pertama saya dikepung oleh polis ialah ketika menyertai para masyaikh berdemo menentang keputusan para pemerintah Arab dan Barat di Bandar Amman.

Justeru, setiap kali isu Palestin bangkit, ia mengimbau semangat perjuangan yang tidak pernah padam. Irama-irama yang menggamit semangat semalam yang telah ditanam akan membakar roh perjuangan yang tidak pernah berakhir in sha Allah

Sumber: FB DrMaza

Share.

Leave A Reply