6 Sekeluarga Ditemui Mati Dalam Perjanjian Bunuh Diri di Texas | Kejiranan Allen telah dikejutkan dengan penemuan enam mayat oleh pihak polis yang dipercayai ditembak di sebuah rumah berdekatan Bandar Dallas, Texas, dan dikatakan ia merupakan tragedi bunuh diri secara besar-besaran yang telah dirancang di sini, baru-baru ini.
Seorang pemuda dipercayai rakan kepada pemuda yang ditemui mati tersebut telah menghubungi pihak polis bagi melakukan pemeriksaan kebajikan ke kediaman terbabit pada hari Isnin selepas pemuda tersebut gagal dihubungi rakannya.
Menurut jurucakap Polis Allen, Sgt. Jon Felty yang dipetik dari NBC News, polis telah menghantar beberapa orang pegawai polis bagi melakukan pemeriksaan kebajikan iaitu sekitar jam 1 pagi waktu tempatan namun mereka telah menemui enam mayat yang dipercayai sekeluarga di kediaman tersebut dengan kesan tembakan.
Tambahnya lagi, mangsa-mangsa terbabit melibatkan dua bersaudara, seorang adik perempuan, bapa dan ibu serta seorang nenek dan dikatakan mangsa yang terbunuh berusia dalam lingkungan 19 hingga pertengahan 70-an. Mangsa-mangsa tersebut dikenali sebagai Towhidul Islam, 54, Iren Islam, 56, Altafun Nessa, 77, Tanvir Towhid, 21, serta kembar berusia 19 tahun iaitu Farbin Towhid dan abangnya Farhan Towhid.
Pembunuhan tersebut dikatakan berpunca daripada pasangan kembar tersebut yang melakukan perjanjian bunuh diri bagi mengakhiri hidup mereka serta ahli keluarga berdasarkan pautan surat yang telah disiarkan di salah sebuah akaun media sosial pasangan kembar tersebut. Isi surat itu turut menerangkan secara terperinci tentang apa yang akan mereka lakukan serta menceritakan bagaimana mereka mengambil keputusan untuk mengakhiri hidup mereka.
Pasangan kembar tersebut dipercayai mengalami kemurungan secara klinikal dan beranggapan bahawa pembunuhan ahli keluarga mereka adalah supaya mereka tidak berasa sedih jika pasangan tersebut bertindak membunuh diri. Mereka dipercayai telah menembak ahli keluarga mereka terlebih dahulu sebelum bertindak menembak diri mereka sendiri menurut Felty dalam satu laporan.
Kronologi kematian serta siapa yang menembak dan ditembak belum dapat dikenal pasti oleh pihak polis namun kejadian tersebut dipercayai telah berlaku hujung minggu lalu berdasarkan bukti-bukti yang ditemui di kediaman terbabit. Kes masih disiasat namun jiran-jiran terdekat telah memberitahu pihak polis bahawa mereka tidak mendengar bunyi tembakan di kawasan kejiranan tersebut.
Sumber: NBC News