Tertembak Adik Kerana Disangka Pelanduk | Sarawak merupakan sebuah negeri yang mempunyai banyak sumber kekayaan semula jadi. Kegiatan paling utama ialah berburu dan memungut hasil hutan di Sarawak.
Sebaliknya yang berlaku pada seorang lelaki di Bau, Sarawak yang pada mulanya pergi memburu di kawasan hutan di Kampung Stenggang, malam tadi bersama adiknya bertukar menjadi kisah tragis apabila dia tertembak adiknya yang disangkakan pelanduk.
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, dalam kejadian kira-kira pada jam 10.45 malam itu, mangsa yang berusia 55 tahun yang bekerja sebagai pemandu bas itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mereka dua beradik berkenaan keluar memburu kira-kira pada jam 7 malam sebelum berpecah. Dalam kejadia itu, abang mangsa dikatakan pergi memburu pelanduk manakala mangsa mencari katak di tebing sungai.
Menurut Poge Nyaon, ketika sedang memburu pelanduk, abang mangsa dikatakan terdengar bunyi sesuatu di tepi sungai dan ternampak seperti kelibat pelanduk lalu melepaskan satu das tembakan ke arah bunyi tersebut.
“Selepas tembakan dilepaskan, abang mangsa mendengar jeritan dan dia bergegas memeriksa sebelum mendapati mangsa dalam keadaan berdarah dan terlentang di tepi sungai,” katanya.
Jelasnya, jarak antara mangsa dengan abangnya ketika ditembak adalah kira-kira dalam 15 meter.
Poge berkata, abang mangsa yang panik kemudiannya berlari balik ke rumahnya di Kampung Stenggang yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian untuk memberitahu keluarga dan menghubungi pihak polis.
Katanya, kira-kira pada jam 11.50 malam, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau menahan abang mangsa yang berusia 60 tahun di rumahnya. Pihak polis juga turut merampas selaras senapang patah yang dipercayai buatan sendiri, lima butir peluru hidup dan sebutir kelongsong peluru.
“Menurut suspek (abang mangsa), senapang patah yang digunakan untuk memburu adalah milik mangsa manakala peluru adalah milik suspek,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dibawa keluar dari kawasan hutan kira-kira pada jam 1.47 pagi oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau dengan bantuan penduduk kampung sebelum dibawa ke Hospital Bau untuk dibedah siasat.
Poge berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960, di mana sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sumber : Harian Metro