‘Pemeriksaan Datang Bulan’ Bagi Pelajar Perempuan Adalah Tidak Wajar – Mufti Pulau Pinang | Khalifah Media Networks –  Tindakan memeriksa alat sulit orang lain bukanlah sesuatu yang wajar ntuk dilakukan. Tindakan itu memalukan seseorang, walau atas apa jua alasan sekalipun, menurut Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.

'Pemeriksaan Datang Bulan' Bagi Pelajar Perempuan Adalah Tidak Wajar - Mufti Pulau Pinang

Ini adalah bagi mengulas tindakan sesetengah sesekolah yang melakukan pemeriksaan ‘Datang Bulan’ sebegitu terhadap para pelajar perempuan bagi mengelakkan mereka ponteng solat. Setiap orang mempunyai maruah diri yang wajib untuk kita hormati. Termasuklah menutup bahagian-bahagian sulit tubuh orang lain.

Menurut Wan Salim, Agama Islam melarang keras umatnya melihat aurat orang lain walaupun dengan alasan untuk melaksanakan kewajipan yang dituntut seperti untuk menghalang seorang pelajar perempuan daripada berdalih untuk meninggalkan kewajipan solat.

Terdahulu, NGO berkaitan hak wanita All Women’s Action Society (Awam), Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (Women:girls) dan Sisters In Islam (SIS) dalam kenyataan bersama mengecam tindakan pihak sekolah berasrama yang melakukan pemeriksaan haid terhadap pelajar yang mengakui diri mereka sedang datang haid.

Pemeriksaan Datang Bulan

Apabila pemeriksaan sebegitu dilakukan, ia semestinya akan melibatkan sentuhan fizikal terhadap alat sulit mereka. Ini bagi memastikan mereka benar-benar datang haid dan tidak ponteng sewaktu sesi solat. Islam sememangnya mewajibkan setiap penganutnya mendirikan solat lima waktu tetapi ia tidak bererti ia membenarkan kanak-kanak diperlakukan sedemikian rupa.

Tambah Wan Salim lagi, islam juga memerintahkan ibu bapa atau waris kanak-kanak membiasakan mereka menunaikan kewajipan ini sejak kecil lagi. Malah ibu bapa dan waris disarankan memukul secara lembut kanak-kanak yang malas menunaikan solat.

Tetapi ini tidak bererti Islam membenarkan kanak-kanak diperlakukan dengan tindakan-tindakan yang boleh memalukan mereka. Seperti memeriksa bahagian sulit mereka untuk memastikan sama ada mereka kedatangan haid atau tidak. Perbuatan sebegitu adalah haram kerana dikira sebagai menceroboh kehormatan seseorang.

Terdapat banyak cara untuk memastikan seseorang gadis atau pelajar perempuan itu sedang didatangi haid. Seperti bertanya kepada ibu bapa atau rakan mereka. Aurat seorang wanita Islam adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan telapak tangan. Setiap wanita Islam yang berakal dan sampai umur baligh adalah diwajibkan menutup aurat masing-masing dan hanya suami yang sah sahaja dibenarkan untuk melihat auratnya.

Sumber: Malaysia Kini

Share.

Leave A Reply