Sekolah Akan Ditutup Selepas Cuti Perayaan Aidilfitri | Penutupan sekolah akan dijalankan selepas musim cuti perayaan Aidilfitri berikutan kebimbangan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) yang khuatir sekiranya terdapat penularan dari pihak luar akan menjangkiti pelajar sekolah sehingga akan menyebabkan penularan jangkitan berlaku di dalam sekolah.
Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) telah memutuskan untuk menutup operasi persekolahan sekolah rendah serta sekolah menengah di seluruh negara selepas cuti perayaan Aidilfitri pada 16 Mei.
Dalam tempoh penutupan sekolah itu, pelajar akan belajar melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama 10 hari bermula dari 16 Mei hingga 27 Mei membabitkan sekolah dalam Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) manakala 17 Mei hingga 28 Mei (Kumpulan B).
Pelajar seterusnya akan terus cuti penggal bermula pada 28 Mei hingga 12 Jun bagi Kumpulan A manakala bagi Kumpulan B bermula 29 Mei hingga 13 Jun.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, keputusan KPM menutup sekolah selepas raya adalah mengambil kira trend jangkitan Covid-19 dalam masyarakat ketika ini.
Katanya, melihat kepada kes sporadik dalam masyarakat dan kluster lain yang tidak berkaitan dengan kluster pendidikan, ia khuatir berlaku jangkitan di luar sekolah sebelum ia menjangkiti pelajar dan menyebabkan penularan berlaku di dalam sekolah.
Tambahnya lagi, kebimbangan KPM sudah pasti terhadap para pelajar yang tinggal di sekolah asrama penuh dan asrama harian kerana jika terjadinya penularan di asrama, kebarangkalian untuk mendapatkan jangkitan lebih tinggi berbanding sekolah biasa.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, KPM membuat pengumuman awal bagi membolehkan guru-guru memilih kaedah paling sesuai untuk memenuhi keperluan PdPR murid-murid dalam tempoh 10 hari berkenaan.
Katanya, terpulang kepada guru sama ada mahu membuat modul atau apa sahaja kaedah mengikut kesesuaian serta kreativiti masing-masing supaya murid-murid tidak mengalami keciciran selama murid menjalani pembelajaran di rumah.
Sumber: Kosmo