Terpaksa Tunda Pengajian Dan Berkorban Jaga Ibu | Ibu merupakan insan yang paling utama dalam melakukan segala hal. Justeru, itulah kejadian yang menimpa seorang remaja perempuan dimana dia terpaksa menunda pengajiannya dan berkorban untuk menjaga ibunya yang terlantar sakit.
Sepang: Seorang remaja perempuan, Fatini Ismail, 22, menjaga ibunya, Suffia Adnan, 48, terpaksa melupakan hasratnya untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda demi menjaga ibunya yang terlantar sakit sejak tahun 2019 lagi selepas bapanya meninggal enam tahun yang lalu.
Dalam pada itu, pelajar tajaan Pusat Zakat Selangor yang memiliki Diploma Jurusan Pendidikan Sains daripada sebuah universiti swasta itu berkata, dia tidak pernah penat untuk menjaga ibu serta keluarganya.
Menurut Fatin, ibunya itu memerlukan perhatian dan penjagaan yang rapi selain perlu menjaga makan dan minum buat adik-adiknya yang lain.
“Kakak sulung yang masih belajar juga sama-sama memikul tanggungjawab ini dengan bekerja sambilan demi mencari nafkah buat keluarga,” katanya ketika ditemui Kosmo di rumahnya di Taman Warisan Megah di sini baru-baru ini.
Fatini yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik itu berkata, ibunya telah menghidap penyakit kanser tulang selepas dia mengalami kencing berdarah dan terdapat ketulan sepanjang tujuh sentimeter pada buah pinggang.
Menurut Fatin, ibunya kemudian dikehendaki untuk menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan. Namun, ia dikatakan agak terlambat kerana sel barah itu sudah merebak ke tulang belakang sekaligus menyebabkan penyakit itu sukar diubati.
“Ibu saya kini hanya berharap pada ubat tahan sakit dan berserah kepada Allah terhadap segala kemungkinan yang akan terjadi. Kami adik-beradik juga bersedia dan reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Dalam masa yang sama, Fatini bersyukur kerana ibunya telah menerima bantuan daripada Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat selain sumbangan yang diterima dari pihak luar dalam mengurangkan beban yang dipikul oleh mereka sekeluarga.
“Alhamdulillah lampin pakai buang ibu pun diterima hasil sumbangan daripada pihak luar, manakala duit makan dan minum hasil sumbangan yang diberikan,” ujarnya.
Sumber: Kosmo