Taktik Lelaki Campur Ganja Dalam Kek Akhirnya Terbongkar | Isu pengedaran dadah bukanlah satu isu baru yang kita dengar malah saban hari kita disajikan dengan pelbagai tipu helah yang dilakukan oleh pengedar untuk memastikan ‘kerja’ mereka berjalan lancar. Namun, malang buat lelaki ini apabila taktik kotornya yang mencampurkan ganja di dalam kek akhirnya terbongkar selepas ditahan dalam satu Biro Narkotik Pusat (CNB), Singapura.
Menurut Biro berkenaan, Lelaki yang berusia 38 tahun itu ditangkap di kawasan Upper Cross Street pada Rabu lalu.
SuspekĀ kemudiannya dibawa ke tempat persembunyiannya di kawasan yang sama, dan anggota CNB merampas lima bungkus berisi sekitar 36 gram dadah ‘ice’ (syabu) , 87 kek yang dipercayai dicampur dengan ganja dan pelbagai perkakas dadah.
Siasatan terhadap suspek masih dijalankan.
Menurut CNB, produk seperti kek bercampur ganja ini digunakan untuk ‘menarik’ golongan muda untuk menggunakan dadah.
Oleh itu, pihak CNB menasihatkan ibu bapa agar memainkan peranan aktif untuk melindungi golongan muda daripada ancaman dadah, dan mengingatkan anak-anak untuk tidak mengambil produk yang tidak diketahui, atau ditawarkan oleh orang yang tidak dikenali.
CNB juga mengingatkan masyarakat mengenai bahaya penggunaan ganja, yang juga ubat terkawal Kelas A yang tersenarai mengikut Akta Penyalahgunaan Dadah.
CNB dalam satu kenyataan berkata, mereka sedar di beberapa wilayah di seluruh dunia, sebilangan pihak menjadikan (penggunaan) ganja bukan sebagai satu jenayah, atau dibenarkan di sisi undang-undang dan membenarkan penjualan ganja dan/atau produk mengandungi ganja.
Menurut CNB, masih kurang bukti mengenai keselamatan dan keberkesanan penggunaan ganja dalam jangka panjang. Penemuan ini mengesahkan kedudukan Singapura bahawa ganja harus tetap dianggap sebagai dadah terlarang.
Tambahnya, penggunaan, pemilikan, perdagangan, import atau eksport dadah terkawal, termasuk ganja dan produk ganja, adalah suatu kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.