Gara-gara Bermain Mercun, Kanak-kanak Cedera Terkena Percikan Api | Menjelang musim perayaan tidak lama lagi, semestinya kegembiraan dan kemeriahan bakal dirasai lebih-lebih lagi dalam kalangan remaja mahupun kanak-kanak. Bukan itu sahaja, kemeriahan menyambut Aidilfitri juga kadangkala disambut dengan bermain bunga api serta mercun.

Namun, kegembiraan yang dijangka berpanjangan malah bertukar menjadi detik cemas apabila seorang kanak-kanak yang bermain mercun cedera akibat terkena percikan api mercun.

Gara-gara Bermain Mercun, Kanak-kanak Cedera Terkena Percikan Api

Yan: Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki yang pertama kali bermain mercun roket berakhir dengan dia cedera pada muka dan tangan akibat disambar api dalam kejadian di Kampung Kuala Sungai Yan di sini, Khamis lalu.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.30 petang itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Indera Syafiq Ariffin, 9, bermain bunga api dan mercun bersama tiga rakannya yang lain.

Menurut Muhammad Indera, kejadian itu berlaku ketika dia sedang bermain mercun di hadapan rumahnya.

Katanya, sebelum itu, mereka hanya bermain bunga api dan mercun bola sahaja sebelum seorang daripada kawannya mengelurkan mercun roket ‘thunder clap’ untuk dibakar dan bermain bersama-sama.

“Saya yang tidak pernah bermain mercun itu teruja melihatnya dan meminta untuk mencubanya,” katanya ketika ditemui Kosmo di rumahnya di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, mercun yang dipegang di tangan kanannya itu kemudian dibakar dan dihalakan ke atas.

“Sebaik sumbu mercun itu mula terbakar, kawan-kawan saya menjerit meminta saya melepaskannya.

“Saya bagaimanapun tidak melepaskannya kerana rasa teruja kerana kali pertama bermain mercun jenis itu sebelum tiba-tiba api daripada mercun berkenaan terus menyambar muka dan tangan saya,” ujarnya.

Bermain mercun seolah menjadi kemestian tatkala hampir musim perayaan. Meskipun ianya diharamkan oleh kerajaan, namun, masih ada yang enggan mengambil pusing soal itu.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply