17 Dikompaun RM 85,000 Gara-Gara Bermain Snuker |  Seramai 17 individu dikompaun RM85,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bermain snuker di sebuah premis dekat Damansara Jaya, Petaling Jaya, semalam.

17 Dikompaun RM 85,000 Gara-Gara Bermain Snuker

Dalam operasi sekitar jam 4 petang itu, individu berkenaan dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, berkata turut ditahan dua lelaki warga asing yang juga penjaga premis berusia 25 serta 27 tahun.

Menurut beliau, pihaknya juga merampas dua kad pekerja, satu resit perniagaan dan pelbagai peralatan snuker untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kes akan disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan) 2021, Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam kes berasingan, Mohamad Fakhruddin berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki kerana dipercayai menghalang tugas polis dalam penugasan rondaan di Seksyen 14, Petaling Jaya, jam 3 petang semalam.

Katanya, suspek yang berusia 23 tahun itu enggan memberikan kerjasama serta tidak berpuas hati ketika pemeriksaan dilakukan terhadapnyaoleh penjawat awam berkenaan.

Tambahnya, suspek telah melakukan provokasi dengan mempertikaikan tugas polis apabila diminta menunjukkan kad pengenalan, selain merakam kejadian itu serta mengugut untuk menularkan di media sosial.

Lelaki berkenaan direman selama sehari mengikut Seksyen 156 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply