Pemilik Kilang Dikompaun RM 10,000 Kerana Beroperasi Lebih Masa | Polis mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada pemilik sebuah kilang pembuatan plastik di Taman Medan, Petaling Jaya, kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan beroperasi melebihi masa ditetapkan, malam tadi.

Pemilik Kilang Dikompaun RM 10,000 Kerana Beroperasi Lebih Masa

Dalam serbuan pada sekitar jam 10.45 malam itu, polis mendapati terdapat seramai lapan orang pekerja kilang bersama dengan seorang penyelia sedang menjalankan kerja di dalam kilang terbabit melebihi masa yang dibenarkan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata kompaun RM10,000 dikenakan kepada penyelia yang juga pemilik kilang iaitu seorang wanita tempatan berusia 41 tahun.

Katanya, pemilik berkenaan didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 17(2) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2021.

Kompaun sebanyak RM 2,000 setiap seorang turut dikeluarkan kepada lapan pekerja terdiri daripada tujuh wanita dan seorang lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 69 tahun mengikut Peraturan 17(1) peraturan yang sama.

Menurut Mohamad Fakhrudin, semakan mendapati kilang berkenaan telah mendapat kebenaran operasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi selama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sebelum ini.

Katanya, semua sektor perkilangan di daerah ini diberikan tempoh tiga hari untuk mendapatkan surat kebenaran beroperasi yang baharu daripada MITI untuk beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama bermula semalam.

Tambahnya, bermula 4 Jun, kilang yang didapati tiada surat kebenaran MITI untuk beroperasi akan dikenakan kompaun dan diarah tutup.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply