Anak Syurga Jadi Penyelamat Ahli Keluarga Dari Tragedi Kebakaran | Seringkali kita dengar kejadian yang meruntum jiwa apabila berlakunya kejadian kebakaran yang melibatkan ahli keluarga. Bukan itu sahaja, ada juga kejadian kebakaran yang meragut nyawa insan tersayang tatkala negara kita pada ketika ini sedang dilanda wabak Covid-19.
Pasir Gudang: “Anak syurga saya yang cacat pendengaran dan bisu nekad mengetuk pintu bilik tidur yang berkunci selama beberapa minit demi mengejutkan dua orang lagi anak lelaki saya yang sedang tidur ketika rumah dijilat api,” kata guru Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 2, Shukuriah Che Mat, 50, hari ini.
Mengimbas musibah yang menimpa keluarganya, wanita itu berkata, kejadian berlaku ketika tiga anaknya berada di rumah keluarga di Taman Scientex di sini, manakala dia dan suaminya bermalam di rumah lama keluarga di Taman Mawar di sini.
Menurutnya, kejadian yang berlaku kira-kira 5 pagi pada 7 Jun itu mula disedari anak bongsunya, Siti Aisyah Syafyah Dzulkifkie, 11, yang pada ketika itu tidur di ruang tamu. Katanya, Siti Aisyah yang melihat ruang tamu kediaman teres dua tingkat itu terbakar bergegas berlari ke bilik tidur abangnya di tingkat dua demi menyelamatkan mereka.
“Hanya Tuhan saja mengetahui detik cemas dihadapi Siti Aisyah kerana dia yang tidak mampu menjerit, sebaliknya hanya dapat mengetuk pintu bilik.
“Apabila abangnya membuka pintu, dia yang berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat meminta kedua-dua abangnya bersamanya untuk turun ke bawah dan menyelamatkan diri menggunakan pintu belakang sebelum api marak.
“Anak lelaki saya masing-masing berusia 14 dan 18 tahun hanya sempat membawa telefon bimbit sebelum menghubungi saya dan bomba.
“Saya bersyukur kerana kesemua mereka selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” katanya.
Shukuriah berkata, dalam kejadian berkenaan, hampir 90 peratus ruangan di rumahnya musnah hingga mengakibatkan kerugian RM160,000. Sementara itu, keluarga Shukuriah difahamkan bahawa kejadian berkenaan berpunca daripada litar pintas.
Menurutnya, keluarganya amat terkesan akibat kejadian itu kerana buat masa ini mereka bergantung sepenuhnya kepada pendapatannya, berikutan suami, Dzulkiflie M Sakan, 48, sudah berhenti kerja sejak Oktober 2020.
Shukuriah mengulas lanjut, rumah lama mereka telah dihuni oleh beberapa anak tirinya yang dikatakan rumah berkenaan bersaiz agak kecil dan tidak sesuai sekiranya mereka sekeluarga tinggal di situ.
“Semua barangan persekolahan anak selain komputer digunakan untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) juga sudah musnah dan saya berharap ada pihak yang membantu terutama membiayai sebahagian kos membaik pulih rumah.
“Buat masa ini hanya saya sahaja bekerja dan mustahil bagi menggunakan pendapatan untuk membiayai kos membaik pulih rumah sehingga suami berjaya mencari pekerjaan baharu,” katanya.
Shukuriah berkata demikian ketika menerima sumbangan baucer beli-belah bernilai RM1,000 daripada Pasaraya Econsave Cash And Carry di cawangan Taman Scientex di sini, hari ini.
Pengurus besarnya, Mas Imran Adam berkata, diharap sumbangan berkenaan dapat meringankan beban keluarga terbabit.
Sumber: Harian Metro