Gara-Gara Mahu Lepas Gian Main Sepak Takraw, Lima Lelaki Dikompaun RM 2,000 | Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan oleh pihak kerajaan adalah bertujuan untuk menyekat penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini. Tindakan ini amat memerlukan kerjasama yang baik dalam kalangan rakyat dalam usaha memutuskan rangkaian Covid-19 namun sayangnya masih ramai yang berdegil dan memandang remeh akan wabak ini.
Kemaman: Lima lelaki masing-masing dikompaun sebanyak RM 2,000 setiap seorang kerana telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh dengan bermain sepak takraw pada Sabtu.
Mereka didapati sedang leka bermain takraw di sebuah gelanggang di Kampung Tuan, Chukai, di sini semalam pada sekitar jam 6.15 petang hari Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mereka yang berusia lingkungan 18 hingga 42 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk proses pengeluaran kompaun.
Katanya, kesemua individu terbabit dikompaun sebanyak RM 2,000 setiap seorang kerana didapati telah melanggar syarat PKP 3.0 di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegah dan Kawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana telah melakukan aktiviti yang tidak yang tidak dibenarkan ketika pelaksanaan PKP dengan beriadah di tempat awam.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, enam lelaki masing-masing dikompaun RM1,500 selepas didapati gagal mematuhi SOP ditetapkan dengan beriadah di tempat awam tanpa penjarakan fizikal.
Katanya, keenam-enam individu itu berusia lingkungan 18 hingga 27 tahun itu dikesan melakukan kesalahan di sebuah kedai di Jalan Air Putih, di sini kira-kira jam 6 petang pada Ahad.
Menurutnya, keenam lelaki terbabit ditahan kerana dikesan berkumpul dan berbual di hadapan sebuah gerai bersama minuman tanpa ada penjarakan sosial.
Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke IPD Kemaman untuk proses pengeluaran kompaun.
Sumber: Sinar Harian