Kerajaan disaran menggunakan beberapa kaedah berteknologi bagi memastikan tiada warga asing membeli petrol bersubsidi khususnya di sempadan negara.
Pengenalan aplikasi tertentu khusus untuk pelanggan, penggunaan teknologi seperti sistem Pengenalan Frekuensi Radio (RFID), menunjukkan MyKad dan sistem aduan berpusat antara yang dicadangkan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
Aktivis Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Mohd Afiq Salim berkata, sudah sampai masanya pihak berwajib memperkenalkan aplikasi khas yang boleh digunakan untuk menyelesaikan isu pembelian petrol bersubsidi berkenaan.
Katanya, ia bukan isu baru, malah sudah berlaku sebelum ini kerana warga asing dari negara jiran cenderung membeli petrol di Malaysia kita yang jauh lebih murah berbanding negara mereka.
Jelasnya, satu aspek yang perlu difahami ialah, bukan tidak ada penguatkuasaan atau tindakan tegas, tetapi ia mesti datang sekali dengan pakej teknologi terkini seperti aplikasi khas.
Ujarnya, contohnya menggunakan RFID untuk mengesan rakyat negara jiran yang membeli petrol pada harga subsidi yang disediakan untuk rakyat Malaysia saja.
Katanya, satu lagi ialah penggunaan tag nano di pam petrol yang boleh mengenal pasti setiap pelanggan dan ia aplikasi ini juga mestilah mesra pelanggan. Ia akan membantu.
Manakala Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, penggunaan aplikasi yang menyeluruh seperti MySejahtera juga perlu dipraktikkan di stesen minyak untuk memastikan perkara seperti itu tidak berulang.
Katanya, ia bukan isu remeh kerana subsidi yang disediakan kerajaan tidak wajar dinikmati warga asing dan ia juga tidak baik untuk ekonomi negara.
Jelasnya lagi, pemilik stesen minyak juga perlu memainkan peranan sebaik mengetahui pelanggan yang datang itu adalah warga asing dari negara jiran.
Beliau berkata, antaranya ialah dengan menyemak dokumen pengenalan sebelum mereka membayar dan mengisi petrol. Dengan cara ini, aktiviti ini dapat disekat.
Jelasnya lagi, kaedah ini perlu diperhalusi sebagai mana kita menggunakan MySejahtera ketika ini. Ia demi memastikan subsidi ini disalurkan kepada yang sepatutnya saja,” katanya.
Kebelakangan ini tular di media sosial rungutan rakyat negara dengan perbuatan pemilik kenderaan dari negara jiran mengisi RON 95 yang bersubsidi di stesen minyak di negara ini.
Ia menimbulkan reaksi kurang senang banyak pihak mengenai kebocoran subsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat tempatan.
Justeru mereka mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas bagi memastikan perkara itu dapat di atasi segera.
Sumber: Harian Metro