IPOH – Warga emas berusia 65 tahun antara 10 umat Islam yang ditahan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam Operasi Judi.
Operasi yang bermula pada jam 2 petang pada Sabtu turut dijalankan serentak di seluruh negeri di sini.
Operasi menyasarkan premis-premis perjudian dan nombor ramalan yang dikesan menjadi tumpuan orang ramai.
Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 25 hingga 65 tahun itu ditahan ketika sedang leka membeli nombor ramalan di premis-premis terbabit.
“Penahanan dibuat di bawah Seksyen 26 Enakmen Jenayah (Syariah) Negeri Perak 1992 atas kesalahan berjudi atau berada di premis perjudian.
“Walaupun ada antara mereka memberi helah dan cuba melarikan diri, namun tidak berjaya kerana ditahan semasa berada di dalam premis,” katanya di sini pada Selasa.
Beliau berkata, operasi judi itu antara langkah pencegahan yang dilaksanakan JAIPk untuk mengekang aktiviti perjudian dalam kalangan orang Islam terutama ketika bulan Ramadan.
Sumber: Sinar Harian