Lelaki yang menjual kerepek dari keretanya bagi mengumpul wang pulang berhari raya ke Terengganu, tidak menyangka jualannya menerima permintaan luar biasa selepas kisahnya tular, minggu lalu.

Jualan Laris Selepas Tular, Penjual Kerepek Balik Beraya Di Kampung

Kisah sedih Mohd Nor Hakim Haim, 32, yang berusaha menjual kerepek dhal dari keretanya selepas dua kali dibuang kerja disiarkan BH, Selasa lalu sebelum ia tular di media sosial.

Beliau menjual kerepek bagi memastikan kerinduan isterinya untuk pulang berhari raya ke Chendering dapat ditunaikan.

Mohd Nor Hakim berkata, sejak kisahnya itu disiarkan dan tular, kerepek jualannya itu diborong sehingga habis setiap hari.

Malah, ada pembeli yang sanggup menanti bagi memastikan mereka berjaya membuat pembelian.

“Alhamdulilah, terima kasih BH kerana menyiarkan kisah saya sehingga jualan kerepek habis setiap hari.

“Jika sebelum ini nak jual 10 paket sehari pun susah, namun kini setiap hari stok kerepek dhal habis malah beberapa pembeli membuat belian pukal.

“Saya tidak sangka selepas kisah itu disiarkan BH, rezeki semakin murah sehingga saluran radio Molek.fm menghubungi bagi bertanya kisah jualan kerepek.

“Kini wang dikumpul bagi pulang berhari raya ke Terengganu sudah cukup.

“Namun saya akan terus berniaga sehingga 30 April ini bagi mendapatkan pendapatan lebih sebagai simpanan sementara saya dapat pekerjaan baharu nanti,” katanya ketika dihubungi.

Selasa lalu, NSTP melaporkan kisah Mohd Nor Hakim yang diuji dugaan berat apabila kehilangan kerja dua kali berturut-turut.

Sebelum dia nekad berusaha menjual kerepek dari keretanya bagi pulang berhari raya ke Terengganu.

Nor Hakim menjual kerepek dhal pelbagai perisa, rempeyek selain bawang goreng di parkir kawasan Pusat Komersial UDA daripada jam 10 pagi hingga 2 petang.

Usaha menjual kerepek dari kereta itu dilakukan sebagai usaha terakhir selepas wang simpannya semakin menyusut.

Beliau sebelum itu bekerja sebagai mekanik di Singapura selama lima tahun.

Namun, dua minggu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020, perkhidmatannya ditamatkan.

Dia kemudian mendapat kerja sebagai penghantar barang di sebuah syarikat kurier baharu.

Namun, pada Disember lalu, perkhidmatannya sekali lagi ditamatkan apabila syarikat itu menutup operasinya.

Dalam pada itu, Mohd Nor Hakim berkata, kisahnya yang tular itu turut membantu peniaga kecil yang menjual barang jualan menerusi kereta mereka.

“Sebenarnya ada ramai yang senasib saya, mereka kehilangan kerja dan hilang punca pendapatan dan menjual kuih-muih, kerepek dan biskut raya dari kereta.

“Namun berkat kisah saya itu disiarkan, mereka memaklumkan jualannya mereka juga tiba-tiba meningkat.

“Ia sangat menggembirakan rakan yang sebelum ini juga susah dan hilang punca,” katanya.

Share.

Leave A Reply