Kalau ditanyakan soal bermadu, pastinya perkara ini sukar untuk diterima atau dihadapi rata-rata wanita berkahwin kerana menganggap ia satu perkara yang pahit untuk ditelan.

Namun begitu, lain pula pandangan dua ‘madu’ yang dikenali sebagai Siti Nor Aisyah Saawal, 36, dan Marzurah Abdul Rahman, 23. Mereka merasakan hidup bermadu sama sekali tidak mendatangkan masalah meskipun mereka berkongsi suami, Mas Nawi Yusof, 41.

Bahkan, mereka berasa sangat gembira kerana dapat berkongsi kasih dan duduk serumah bersama.

Ketika ditemu ramah, Siti Nor Aisyah yang merupakan isteri pertama mendedahkan bahawa dia mengenali madunya, Marzurah yang ketika itu masih lagi bersekolah di tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ade Putra, Masjid Tanah.

Apabila suami minta berkahwin dengan Marzurah selepas tamat tingkatan lima, saya tidak ada halangan. Sebaliknya, saya membenarkan dia berkahwin. Tidak ada rasa marah, iri hati atau kecil hati terhadap suami.

Saya juga yang mengatur majlis pertunangan dan pernikahan mereka dan alhamduli­llah sudah hampir lima tahun mereka bernikah. Kami boleh hidup gembira,” katanya.

Ibu kepada empat anak itu turut mendedahkan bahawa dia sangat gembira kerana dapat bersama-sama Marzurah untuk membantu suami mereka. Mereka bertiga kini menguruskan kedai menjual pelbagai makanan yang terletak berhampiran Hutan Rekreasi Sungai Udang di sini.

Dalam pada itu, Marzurah yang mempunyai seorang anak berusia empat tahun memaklumkan bahawa suami dan Aisyah melamarnya sebaik sahaja tamat SPM pada 2017.

Saya terima lamaran itu begitu juga ibu bapa saya. Walaupun ramai kata hidup bermadu penuh gelora, namun saya yakin boleh hidup bahagia dan syukur kami hidup penuh aman dan damai.

Saya dapat diterima semua anak tiri dan kami hidup di bawah satu bumbung. Setakat ini, kami tidak ada rasa iri hati atau dengki kerana segala masalah kami berkongsi bersama atasinya,” tambahnya.

Semoga perkongsian dua madu ini sedikit sebanyak dapat memberikan inspirasi buat semua pasangan di luar sana.

Sumber: Oh Media

Share.

Leave A Reply