Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman yang menghadapi tiga pertuduhan berkaitan dadah, ditempatkan dalam sel tahanan berasingan di penjara berikutan keadaan kesihatan yang dihadapinya.
Peguam Ariff Azami Hussein yang mewakilinya berkata, walaupun diasingkan daripada banduan lain tindakan itu tidak menjadikan Yasin mendapat layanan istimewa.
“Semalam saya melawat Yasin dan keadaan beliau ceria dan bersemangat cuma kurang selera makan. Layanan pihak penjara dan polis terhadapnya sangat baik malah tiada isu langsung.
“Macam beliau kata tadi, penjara tetap penjara,” ujar peguam itu ketika ditemui wakil media selepas prosiding sebutan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Sementara itu, Yasin ketika ditanya keadaannya sepanjang ditahan memberitahu, penjara tidak sama seperti hotel.
“Penjara seperti penjaralah, tak macam hotel,” ujarnya kepada wakil media sambil tersenyum sejurus sebelum dibawa oleh anggota polis ke lokap mahkamah selepas kesnya ditangguhkan.
Ketika ditanya sama ada beliau menerima keputusan representasi sama ada memihak atau tidak kepadanya, Yasin optimis bahawa pihak pendakwaan akan mempertimbang representasi berkaitan tiga pertuduhan dadah yang dikemukakannya.
“Representasi itu setebal 47 muka surat dan sangat komprehensif mengandungi dokumen kesihatan dan rawatan yang saya perlukan,” ujar Yasin.
Dalam perkembangan sama, Ariff Azami menyatakan, alasan yang dikemukakan dalam representasi itu kuat dan pihaknya berharap pertuduhan tersebut dikaji semula dan diberi pertimbangan.
“Representasi itu antaranya mengandungi laporan perubatan dan alasan kemanusiaan, rayuan melibatkan keluarga dan keadaan terkini Yasin.
“Manfaat kes ini bukan sahaja kepada Yasin malah kepada ramai pesakit yang sedang mendapatkan cara rawatan bukan ortodoks yang mana mereka kemudian dituduh di mahkamah.
“Mereka sepatutnya diberi peluang oleh pihak pendakwaan dan bukan dirangkum sekali dengan pesalah yang menggunakan dadah berbahaya,” ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen menetapkan 15 Disember ini bagi keputusan representasi Yasin atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.
Sumber: Utusan Malaysia