Youtuber, Ammar Nazhan memohon maaf atas keterlanjurannya kerana menerbit dan memuat naik video membabitkan sekumpulan gadis memperagakan pakaian muslimah dengan berniqab di hadapan beberapa lelaki.
Ammar Nazhan atau mesra disapa Am membuat permohonan maaf itu menerusi perkongsian video di Youtube semalam.
Dia mengakui kesilapan dilakukan dan berlapang dada untuk menerima teguran daripada semua pihak.
“Terima kasih kepada semua termasuk netizen, ustaz dan ustazah yang sudah tegur secara peribadi.
“Teguran itu betul. Apabila seseorang berilmu tegur maksudnya Allah masih sayang. Dia (Allah) nak tegur Am dan ‘team’ (pasukan) ke arah lebih baik,” katanya.
Ammar mengatakan tujuan video itu adalah niatnya untuk menghadiahkan niqab kepada model wanita terbabit.
“Dalam masa sama, mereka memperagakan pakaian, benda itu perkara biasa untuk buat ‘content’ (video) bertukar-tukar pakaian.
“Cuma kali ini versi berbeza, kita beri peluang mereka bertukar wajah dengan berniqab.
“Bukan niat Am mempersendakan Saidatina Fatimah az-Zahra dan sebenarnya tiada niat pun nak memperlekehkan sesiapa,” katanya.
Menurutnya, dia berdiam semasa isu itu dibangkitkan kerana ingin menunggu isu itu reda sedikit sebelum meminta maaf.
“Saya ambil masa yang lama untuk keluarkan kenyataan kerana mahu kurangkan emosi orang luar yang masih marah,” katanya.
Ammar juga mengaku dia alpa dan kurang peka dengan kata-kata rakan lain ketika membuat ulasan terhadap wanita berniqab itu.
“Dalam video itu, saya ada beritahu yang mereka (model wanita berniqab cantik cuma jika ada rakan lain ‘review’ macam main-main saya mohon maaf, kebanyakan mereka masih muda.
“Sepatutnya daripada awal dan sebelum mula lagi saya tegur mereka.
“Diharap permohonan maaf ini diterima cuma ingin dijelaskan kami (bersama model wanita) tidak duduk serumah.
“Ada yang dalam pasukan saya juga ‘free hair’ tetapi mula nak cuba (bertudung) perlahan-lahan,” katanya.
Sebelum ini, tular di laman media sosial video yang memaparkan wanita memakai pakaian muslimah dan diragakan hadapan empat lelaki.
Perkongsian itu bagaimanapun mengundang kemarahan netizen yang menyifatkan Ammar Nazhan keterlaluan kerana seolah-olah cuba mempersendakan wanita muslimah.
Sumber: Harian Metro