Perbuatan kejam seorang penganggur mencederakan isteri dan dua anaknya kerana berang tidak dibelikan rokok, terbalas apabila dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun atas empat pertuduhan dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Tertuduh, Rony Abraham, 37, yang berketurunan Filipina dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan pada sebutan semula kes itu hari ini.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nazifah Mohd Salleh, 38, dengan mencucuh puntung rokok di lengan kanan dan di tepi mata sebelah kirinya di rumah mereka di Bukit Tempayan, Tanjung Kling pada 17 Oktober lalu, antara jam 7 pagi hingga 11 pagi.
Dia didakwa melakukan kesalahan Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 A kanun sama, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu.
Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Oktober lalu dengan menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan dia kurang kesedaran ketika kejadian akibat penyakit sawan dihidapinya selain masih berkahwin dan anak-anak masih kecil.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh atas kesalahan dilakukan.
Katanya, laporan psikiatri menunjukkan tertuduh faham sifat dan akibat perbuatannya selain mempunyai sejarah penggunaan barang terlarang.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku bersalah atas tiga lagi pertuduhan mencederakan isterinya dengan cara memukul pipi kiri dan seluruh badan dengan menggunakan tangan.
Tertuduh turut didakwa memukul dua anaknya, Aryana Jasmyn Abdullah, 13, (tumbuk mulut hingga berdarah) serta Mohamad Adryan Danial, 12, (tendang belakang badan) di tempat, tarikh dan masa sama.
Bagi kesalahan itu dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 A kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman dalam penghakimannya menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh sabitan hari ini.
Timbalan Pendakwa Fiqri Hakim Zamri yang menjalankan pendakwaan memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan kepada tertuduh kerana kesalahan adalah serius terhadap isteri dan anak-anak.
“Perbuatan tertuduh jelas melanggar tanggungjawabnya sebagai bapa dalam menjaga, memberi makan dan mewujudkan suasana harmoni dalam keluarga,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Baca Juga : Lelaki Ditembak Depan Rumah | Seorang lelaki cedera di lengan kanan selepas terkena tembakan di hadapan rumahnya di Jalan Limau Kasturi hari ini.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 7.15 pagi ketika mangsa berusia 40 ingin pergi ke tempat kerja.
Difahamkan tembakan itu dilepaskan seorang suspek yang menunggang sebuah motosikal.
Suspek juga dikatakan telah melepaskan tiga das tembakan sepanjang berlakunya kejadian itu.
Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan akan mengeluarkan kenyataan media berkaitannya nanti.
Sumber: KMN