Kemenangan Morocco ke atas Portugal minggu lalu ternyata merekodkan sejarah tersendiri apabila bergelar pasukan Arab pertama yang berjaya mara sehingga ke separuh akhir Piala Dunia.
Kejayaan Morocco tersebut diraikan oleh sebilangan besar rakyat di negara-negara di sekitar benua Afrika dan teluk Arab termasuk Palestin.
Imbas kembali menurut The Guardian, rakyat Palestin tidak mengira lapisan masyarakat berkumpul di sebuah restoran untuk menyaksikan perlawanan tersebut.
Keadaan bertambah meriah apabila apabila En-Nesyri menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-42 sekali gus meletakkan Morocco mendahului perlawanan meninggalkan Portugal.
“Semoga Tuhan mengekalkan skor ini!” kata seorang hos radio Palestin ketika dia bertugas untuk mengulas perlawanan tersebut.
Lebih mengejutkan lagi, Morocco mampu mempertahankan kedudukan tersebut sekali gus meyakinkan kemaraan mereka menentang France untuk perlawanan penentuan.
Beralih kepada penyokong Atlas Lions, mereka telah menari kegembiraan di Dataran Arafat dengan hon kereta dibunyikan dan bunga api dimainkan sepanjang malam untuk meraikan kemenangan itu.
Malah, kejadian itu turut berulang di pekan dan kampung di seluruh Tebing Barat dan Semanjung Gaza. Hal ini kerana Atlas Lions bukan sahaja mampu menciptakan rekod dunia malah mengalahkan satu lagi pasukan terbaik Eropah.
“Seluruh Arab berada di belakang mereka. Kami amat berbangga dengan cara mereka mewakili Palestin. Kami tidak berada di Piala Dunia tetapi ia begitu hampir dengan kami,” luah Saha Amir, seorang penyokong Morocco.
Rentetan daripada itu, kemaraan mereka sehingga ke separuh akhir bukan sahaja dilihat sebagai kemenangan negara, tetapi satu kemenangan untuk Afrika dan seluruh dunia Arab khususnya rakyat Palestin.
Sebelum ini, Morocco bertemu dengan Sepanyol dengan kemaraannya hanya ditentukan oleh sepakan penalti (3-0) selepas kedua-duanya beraksi selama 120 minit (90 minit perlawanan + 30 minit masa tambahan) di atas padang.
Untuk pengetahuan umum, Atlas Lions telah mengibarkan bendera Palestin di pentas dunia berbanding bendera mereka (bendera merah dengan lima bucu) demi memperjuangkan hak Palestin.
Tidak hanya itu, kejohanan tersebut turut membuktikan bahawa memisahkan sukan dengan politik adalah sukar, walaupun FIFA telah mengharamkan sepanduk bendera yang bersifat “politik menyinggung perasaan atau diskriminasi.”
Piala Dunia: Jalur Gemilang Di Belakang Tiang Gol, ‘Pemilik’ Tampil Beri Penjelasan
Jalur Gemilang yang berkibar di Stadium Al Thumama, Qatar sewaktu perlawanan di antara Morocco-Portugal dikibarkan penuh bangga oleh seorang lelaki rakyat Malaysia, Jagjit Singh.
Kebenaran tersebut diungkapkan oleh Jagjit sendiri menerusi hantarannya di Facebook sekali gus menjawab persoalan dalam kalangan netizen yang tertanya-tanya siapa agaknya individu di sebalik layar yang bertindak mengibarkannya
“Sayalah yang meletakkan jalur gemilang itu di belakang tiang gol,” katanya yang sedang memakai baju jersi Harimau Malaya.
Dalam pada itu, rata-rata rakyat negara ini berterima kasih kepadanya serta meluahkan rasa bangga apabila melihat bendera Jalur Gemilang tersebut megah berkibar di bumi asing
“Terbaik Mr Jagjit Sing. Sentiasalah berbangga dengan negara sendiri,” tulis Ahmad Ibhrahim Saaya di Facebook.
“Inilah rakyat Malaysia, tahniah kerana telah mewakili Malaysia ke Piala Dunia,” komen Mohd Muzamil pula.
“Terima kasih Jagjit. Usaha yang baik. Rakyat Malaysia bangga dengan anda,” tulis pengguna, Eddy Salman.
Terdahulu, tular sebuah gambar serta video memaparkan Jalur Gemilang yang digantung di antara bendera-bender lain seperti bendera Maghribi iaitu di hadapan tempat duduk para penonoton sekali gus dapat dilihat secara langsung apabila kamera dihalakan kearah tiang gol.
Hantaran tersebut telah meraih lebih daripada 2,000 tanda suka meraih pelbagai maklum balas yang positif setakat ini.
Sumber: The Guardian, Kosmo