KUALA SELANGOR – Pengusaha ‘fun fair’ yang mengakibatkan tiga cedera di Bandar Puncak Alam di sini, malam tadi dikesan beroperasi tanpa lesen.
Malah, pengusaha tersebut juga didapati terus berdegil menjalankan perniagaannya biarpun arahan sitaan telah dikeluarkan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sebelum ini.
Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat berkata, pihaknya telah menjalankan sitaan itu pada 29 November lalu selepas permit operasi tidak diluluskan.
Katanya, pesta ria itu beroperasi secara haram kerana tidak mendapat kebenaran pihaknya selain polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
“Pengusaha itu memang ada membuat permohonan permit dengan MPKS, namun kita tidak meluluskannya dan menyitanya.
“Namun, pihak berkenaan masih degil untuk beroperasi bermula 10 Disember lalu (Sabtu) sehingga menyebabkan berlaku insiden malang tersebut,” katanya ketika ditemui selepas meninjau tapak fun fair itu, hari ini.
Turut hadir, beberapa pegawai JKKP Selangor dan pengusaha pesta ria tersebut.
Tinjauan Kosmo! mendapati seluruh kawasan itu sudah ditutup sepenuhnya dan diletakkan pita sitaaan MPKS.
Jelas Rahilah, pihaknya turut menyerahkan notis kompaun kepada pengusaha fun fair itu mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995.
Kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
“Pesta ria itu turut diarahkan tutup dan tidak boleh beroperasi sepenuhnya,” ujarnya.
Tegas beliau, pengusaha itu hanya mendapat kebenaran daripada pemilik tapak atau tanah, namun bukannya MPKS.
“Justeru, kita menasihatkan semua pihak mematuhi arahan ditetapkan dan tidak beroperasi tanpa permit sah seumpama itu.
“Insiden malang itu dapat dielak sekiranya arahan berkenaan dipatuhi sejak awal ketika sitaan dilakukan,” katanya.
Kosmo! Online terdahulu melaporkan suasana di sebuah pesta ria atau ‘fun fair’ di Bandar Puncak Alam di sini, gempar apabila tiga individu termasuk kanak-kanak cedera selepas terjatuh daripada satu permainan, malam tadi.
Sumber: Kosmo
[VIDEO] Wanita Dan Kanak-Kanak Cedera Slps Terjatuh Main ‘Sotong Ride’.
Suasana di sebuah pesta ria atau fun fair di Bandar Puncak Alam di sini, gempar apabila tiga individu termasuk kanak-kanak cedera selepas terjatuh daripada salah satu permainan, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.50 malam.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa melibatkan seorang kanak-kanak dan dua wanita.
“Berdasarkan maklumat awal, kesemua mangsa berada di atas permainan ‘sotong ride’ yang sedang bergerak sebelum terjatuh. Siasatan menyeluruh mengenai kejadian itu bagaimanapun masih dijalankan termasuk mengenal pasti identiti mangsa terlibat,” katanya, malam tadi.
Jelas Ramli, kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut sementara pesta ria itu diarah tutup serta merta bagi siasatan lanjut.
“Arahan itu dikeluarkan selepas polis turut berbincang dengan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS). Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 6 Enekmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 kerana beroperasi tanpa lesen,” jelasnya.
Terdahulu, beberapa video dan gambar tular di laman sosial memaparkan permainan itu yang pada awalnya berjalan dengan lancar.
Namun, keadaan bertukar sebaliknya apabila permainan itu dikatakan hilang kawalan sehingga menyebabkan mangsa terjatuh.
3 Mangsa (2 perempuan, 1 Kanak-Kanak) Cedera Selepas Jatuh Dari Tempat Permainan (Sotong Ride)Fun Fair di Puncak Alam, Selangor Sekitar Jam 8.50 malam tadi – KPD Kuala Selangor
Video : Orang Awam pic.twitter.com/DFdZtUnuQP
— Mohd Redzuan Abdul Manap (@redzuanNewsMPB) December 12, 2022
Sumber: KMN