Pelawak Ali Puteh gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen berhubung ganti rugi RM60,000 yang perlu dibayar kepada kakak iparnya, Siti Nor Hidayah Mohd Ali kerana memfitnahnya di media sosial, dua tahun lepas.
Peguam Noorazmir Zakaria, yang mewakili Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berkata, Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menolak rayuan pelawak tersebut dengan kos RM5,000.
Selain itu, Ahmad Shahrir turut menolak rayuan Siti Nor Hidayah yang merupakan isteri kepada Allahyarham Abam Bocey untuk menaikkan jumlah ganti rugi RM60,000 yang diiperintahkan oleh Mahkamah Sesyen dengan kos RM5,000.
“Rayuan Syed Ali dan tiga ahli keluarganya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak saman fitnah mereka terhadap usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Siti Nor Hidayah turut ditolak dengan kos sama (RM5,000),” kata Noorazmir.
Peguam dihubungi selepas prosiding yang berlangsung secara dalam talian pada Rabu.
Sementara itu, Noorazmir berkata, beliau belum mendapat arahan lanjut daripada anak guamnya sama ada untuk merayu terhadap keputusan tersebut.
Pada 18 Februari lepas, Hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan membenarkan tuntutan saman Siti Nor Hidayah, 30, selepas berpendapat hantaran Syed Ali dalam akaun Instagramnya pada 10 Februari 2020 menjatuhkan maruah dan mengaibkan kakak iparnya.
Mengenai penglibatan Aliff Syukri, hakim itu berkata mahkamah berpuas hati bahawa usahawan itu tiada niat jahat untuk berkonspirasi bersama isteri arwah memfitnah kesemua plaintif dan mahkamah juga mendapati Aliff Syukri membuat temu bual kerana ingin membantu isteri arwah.
Pada Mei 2020, Siti Nor Hidayah menyaman Syed Ali berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu menerusi akaun Instagramnya antara lain menggambarkan wanita itu seorang isteri yang jahat serta tamakkan harta pusaka suaminya.
Syed Ali dan tiga ahli keluarganya juga menfailkan saman terhadap Aliff Syukri dan Siti Nor Hidayah atas dakwaan berkonspirasi dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan mengaibkan mereka dengan menerbitkan dan memuat naik satu video temu bual yang disiarkan secara langsung dalam akaun YouTube usahawan kosmetik itu.
Sumber: Majoriti
Artikel Lain
Syamsul Yusof Nak Saman JAWI RM10 Juta
Pengarah filem, Syamsul Yusof, 38, akan memfailkan saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebanyak RM10 juta kerana didakwa mengeluarkan satu kenyataan fitnah terhadapnya.
Syamsul menerusi kiriman suara berdurasi satu minit dan 59 saat yang dihantar menerusi WhatsApp berkata, tindakan itu diputuskan selepas berbincang dengan peguamnya mengenai perkara itu.
“Mereka (Jawi) sudah mengeluarkan satu kenyataan fitnah terhadap saya, fitnah tidak benar dan boleh dikatakan palsu kepada saya. Mereka sudah memberi maklumat tidak benar itu kepada ahli keluarga saya sedangkan maklumat itu sekali lagi tidak benar, palsu dan boleh dikatakan fitnah kepada ahli keluarga saya.
“Sedangkan, perkara itu juga adalah dokumen rasmi kerajaan. Saya anggap saya perlu ambil tindakan ini untuk menyaman Jawi sebanyak RM10 juta. Setakat ini, itu yang boleh saya katakan dulu,” katanya.
Bagaimanapun, Syamsul tidak mendedahkan apa kenyataan Jawi yang didakwa fitnah terhadapnya itu.
Menurut Syamsul, cukuplah dia berkongsi sebab untuk mengambil tindakan saman itu dan selebihnya akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Difahamkan, Syamsul kini berhadapan kemelut rumah tangga dengan isterinya juga pelakon Puteri Sarah, 37, atas dakwaan kehadiran ‘orang ketiga’ dikenali Ira Kazar yang dikatakan mengganggu rumah tangga mereka.
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3.
View this post on Instagram
Sumber: KMN