Seorang doktor kanan di sebuah hospital terkemuka Shanghai mendedahkan 70 peratus populasi di bandar mega itu dijangkiti COVID-19, ketika China berdepan peningkatan besar kes pandemik berkenaan, lapor media tempatan semalam.

Hampir 70 Peratus Penduduk Shanghai Dijangkiti Covid-19

Penurunan mendadak jangkitan direkodkan selepas beberapa tahun pelaksanaan sekatan ketat dan ia mula dilonggarkan pada bulan lalu.

Naib Presiden Hospital Rujin, Chen Erzhen merangkap seorang anggota panel pakar penasihat COVID-19 Shanghai, menganggarkan majoriti 25 juta penduduk bandar itu dijangkiti.

“Sekarang penularan epidemik di Shanghai sangat meluas dan ia mungkin boleh mencecah 70 peratus populasi iaitu 20 hingga 30 kali ganda lebih (pada April dan Mei),” katanya ketika diwawancara Dajiangdong Studio.

Shanghai bergelut dengan perintah berkurung selama dua bulan pada April lalu.

Ketika itu, lebih 600,000 penduduk dijangkiti dan ramai diheret ke pusat kuarantin beramai-ramai.

Sekarang pula, varian Omicron tersebar berleluasa di seluruh bandar dan pakar menjangkakan jangkitan akan memuncak pada awal tahun ini.

Seperti bandar besar lain termasuk Beijing, Tianjin, Chongqing dan Guanzhou, pegawai kesihatan republik itu berpandangan gelombang sudah mencapai kemuncak.

Tambah Erzhen, hospital Shanghai merekodkan 1,600 kes kemasukan kecemasan setiap hari iaitu dua kali ganda jumlah sebelum sekatan ditarik balik.

Katanya, 80 peratus daripada kes berkenaan dalam kalangan pesakit COVID-19.

“Lebih 100 ambulans tiba di hospital setiap hari,” katanya sambil menambah hampir separuh kemasukan ke unit kecemasan membabitkan golongan berisiko berumur lebih 65 tahun.

Semalam, wartawan AFP di lapangan menyaksikan sendiri keadaan di Hospital Tongren yang sesak dengan pesakit sedang menerima rawatan kecemasan di luar pintu masuk fasiliti berkenaan.

Dalam temubual dengan stesen penyiaran CCTV kelmarin, pegawai Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC), Jiao Yahui mengakui bahawa pihaknya berdepan cabaran besar untuk menangani jangkaan gelombang kemuncak di kawasan luar bandar.

Sumber: BH

Berita Berkaitan..

Zhenjiang, China Catat Sejuta Kes Covid-19 Setiap Hari

Wilayah perindustrian besar Zhejiang berhampiran Shanghai, China sedang bergelut dengan kira-kira sejuta jangkitan baharu COVID-19 setiap hari.

Zhenjiang, China Catat Sejuta Kes Covid-19 Setiap Hari

Jumlah itu dijangka meningkat dua kali ganda dalam tempoh beberapa hari akan datang, kata kerajaan wilayah itu pada Ahad.

Walaupun terdapat peningkatan rekod kes di seluruh China, tiada kematian COVID-19 dilaporkan di tanah besar selama lima hari hingga Sabtu lalu, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China semalam.

Rakyat dan pakar meminta data yang lebih tepat apabila jangkitan meningkat selepas Beijing membuat perubahan besar kepada dasar ‘Sifar COVID-19’ yang meletakkan ratusan juta rakyatnya di bawah sekatan tanpa henti dan menjejaskan ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

Angka jangkitan dari seluruh China menjadi tidak lengkap apabila Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan berhenti melaporkan jangkitan tanpa gejala, menjadikannya lebih sukar untuk mengesan jangkitan.

Semalam, suruhanjaya itu berhenti melaporkan angka harian, yang kemudian diterbitkan oleh CDC China.

Zhejiang adalah antara beberapa kawasan yang menganggarkan peningkatan baru-baru ini dalam kadar jangkitan termasuk kes tanpa gejala.

“Kemuncak jangkitan dianggarkan muncul lebih awal di Zhejiang dan memasuki tempoh tahap tinggi sekitar sambutan Tahun Baharu, di mana jumlah jangkitan baharu harian akan mencecah sehingga dua juta,” kata kerajaan Zhejiang dalam satu kenyataan.

Kerajaan Zhejiang, dengan 65.4 juta penduduk, berkata antara 13,583 jangkitan yang dirawat di hospital wilayah itu, seorang pesakit mengalami simptom teruk akibat COVID-19 manakala 242 jangkitan teruk dan kritikal disebabkan oleh penyakit kronik atau menghidap penyakit lain untuk tempoh yang lama.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menerima data dari China mengenai kemasukan ke hospital COVID-19 baharu sejak Beijing melonggarkan sekatannya.

WHO berkata jurang data mungkin berlaku kerana pihak berkuasa bergelut untuk mengira kes di negara paling ramai penduduk di dunia itu.

“China sedang memasuki minggu paling berbahaya dalam pandemik. Pihak berkuasa kini hampir tidak dapat memperlahankan penularan jangkitan.

“Tambahan pula, pergerakan menjelang Tahun Baharu Cina akan bermula dan mana-mana bahagian negara yang tidak mengalami gelombang besar COVID-19, sudah tentu akan menghadapinya,” kata nota penyelidikan dari Capital Economics.

Sementara itu, bandar Qingdao dan Dongguan masing-masing menganggarkan puluhan ribu jangkitan COVID-19 setiap hari baru-baru ini, jauh lebih tinggi daripada bilangan harian jangkitan kes tanpa gejala kebangsaan negara itu.

Sistem penjagaan kesihatan negara mengalami tekanan besar, dengan kakitangan diminta bekerja walaupun ketika sakit, malah pekerja perubatan yang bersara di kawasan terpencil dipanggil bekerja semula untuk membantu masyarakat akar umbi, menurut media kerajaan.

Keperluan mendesak sekarang ialah ketibaan Tahun Baharu Cina pada Januari ini, apabila sejumlah besar orang ramai pulang ke kampung halaman masing-masing.

Lawatan ke klinik demam Zhejiang kini mencecah 408,400 kes sehari, iaitu 14 kali daripada tahap biasa berbanding minggu lalu, kata seorang pegawai Zhejiang pada sidang akhbar.

Rujukan harian ke pusat kecemasan di ibu kota Zhejiang, Hangzhou, baru-baru ini meningkat lebih tiga kali ganda secara purata berbanding kadar tahun lalu, lapor televisyen rasmi negeri semalam, memetik seorang pegawai kesihatan Hangzhou.

Bandar timur Suzhou berkata, lewat Sabtu talian kecemasannya menerima rekod 7,233 panggilan pada Khamis.

Sumber: BH

Share.

Leave A Reply