TINDAKAN seorang wanita mencuri sebentuk cincin membawa padah apabila perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) gerai jualan aksesori berkenaan.
Difahamkan kejadian dipercayai di Publika Bazaar & Craft Market yang berlansung di Publika, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.
Melalui satu video tular yang dimuat naik halaman Facebook, We Are Malaysians pada lewat malam Isnin memaparkan wanita itu bersama rakannya sedang membelek-belek item aksesori yang diletakkan di atas meja. Dia juga dilihat mencuba seutas rantai sebelum bereder ke tempat cincin berkenaan diletakkan.
Wanita itu kemudiannya mencuba beberapa cincin perak sebelum menyimpan sebentuk cincin berkenaan ke dalam beg tangan yang dijinjitnya.
Kemudiannya dia dilihat menuju ke arah pemilik gerai jualan aksesori berkenaan kononnya untuk bertanyakan sesuatu.
Video berdurasi seminit itu kini sudah mendapat lebih daripada 178,000 tontonan. Turut tular tangkap layar akaun Facebook dan Linkedin wanita berkenaan.
We Are Malaysians turut mendakwa wanita berkenaan bekerja sebagai pengurus hotel mewah di ibu negara dan juga merupakan graduan sebuah universiti swasta terkenal.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memberikan pendapat yang berbeza mengenai kejadian tersebut.
Seorang pengguna Facebook, Isadora Rosabelle berasakan wanita berkenaan mempunyai masalah ketagihan mencuri atau Kleptomania.
“Saya yakin barang dia ambil itu tidak mahal, kadang-kadang sudah menjadi tabiat. Kleptomania,” katanya.
Peggy pula berpendapat perempuan itu harus dikenakan hukuman yang sewajarnya.
“Harap owner kedai dah buat laporan polis, patut dikenakan tindakan. Tak mungkin kerja pengurus hotel mewah tidak mampu bayar. Memalukan bangsa betul,” tulisnya.
Sementara itu, menurut Kenzo Kobayashi, pemilik gerai jualan aksesori berkenaan sudah membuat laporan polis dan berjumpa dengan wanita tersebut.
Kenzo yang juga rakan kepada mangsa (pemilik gerai) mendakwa perkara tersebut masih dalam siasatan polis.
“Pemilik dah buat buat laporan polis dan dah berjumpa dengan suspek. Biarlah mereka sendiri yang selesaikan,” katanya.
Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu.
Sumber: Majoriti
Baca Juga: Padah Mencuri Emas, Pasangan Kekasih Terpaksa Beraya Di Dalam Lokap.
Sepasang kekasih mengaku bersalah mencuri emas di sebuah kedai di Kuala Pilah. Mereka dihukum enam bulan penjara. Baca selanjutnya.
Sepasang kekasih yang tular di media sosial Facebook selepas mencuri emas di sebuah kedai di Pekan Kuala Pilah di sini dihukum enam bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah pada Isnin.
Majistret Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Effendi Sanusi Gunarto, 24, dan Nur Sabrina Khairul, 22, selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama mencuri seutas gelang tangan emas jenis Dunhill seberat 36.76 gram milik sebuah kedai di Pekan Kuala Pilah.
Perbuatan itu dilakukan di Kedai Emas Pilah, Jalan Dato Undang Johol, Kuala Pilah pada 8 April lepas, kira-kira jam 3.45 petang.
Berikutan itu tertuduh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala bagi kesalahan kali yang kedua atau kemudian boleh dikenakan penjara dan denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, dilaporkan seorang wanita berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan seutas gelang tangan emas yang dianggarkan bernilai RM10,000 dalam kejadian di sebuah kedai emas di Pekan Kuala Pilah di sini pada 8 April lalu.
Sumber: KMN