KUALA LUMPUR – Dua rakan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merompak seorang lelaki dengan mengheretnya menggunakan motosikal serta menyamar sebagai pegawai polis.

Muhammad Zuraidi Abdullah, 28, dan Muhd Ammar Haziq Zulkifli, 27, membuat pengakuan bersalah itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 7 Mac ini untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa melakukan rompakan berkumpulan sebuah telefon bimbit jenama Apple iPhone 6 Plus milik seorang lelaki berusia 25 tahun dan mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan mengheretnya menggunakan motosikal.

Bagi pertuduhan pertama itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa menyamar sebagai penjawat awam iaitu pegawai polis bagi tujuan melakukan rompakan yang didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Jalan Kuchai Maju, di sini, pukul 4.30 pagi pada 28 Januari lalu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh. Pihak pendakwaan memohon tarikh lain untuk membaca fakta sebelum jatuh hukum.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu kemudian tidak diikat jamin.

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga: Kantoi Tipu Menyamar Pengusaha Kebun, Pelajar IPT Dicekup Berkhalwat

Seorang lelaki sanggup menipu penguat kuasa dengan mendakwa dia merupakan pengusaha kebun buah bagi mengelak identitinya sebagai penuntut sebuah institut pengajian tinggi (IPT) terbongkar selepas dicekup berkhalwat, di sini, malam semalam.

Pasangan masing-masing berusia 24 tahun itu dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam satu serbuan di sebuah hotel di pusat bandar Melaka kira-kira pukul 12 tengah malam semalam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, hasil maklumat awam, pasangan itu ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pernikahan.

“Ketika disoal siasat, lelaki itu cuba berdolak-dalik dengan mendakwa dia bekerja sebagai pengusaha kebun buah di Selangor.

“Namun, selepas menjalankan pemeriksaan lanjut, dia dan pasanganya akhirnya mengakui mereka merupakan pelajar tahun akhir bagi Ijazah Sarjana Muda di sebuah IPT di sini,” katanya dihubungi pemberita di sini, semalam.

Ujarnya, pasangan itu turut memberikan alasan hanya ingin berehat di hotel itu selepas penat berjalan-jalan di pusat beli-belah.

“Bagaimanapun, alasan itu sama sekali tidak logik kerana asrama wanita itu dan rumah sewa pasangannya terletak tidak jauh dari pusat beli-belah dimaksudkan.

“Kedua-dua mereka ditahan dan dibawa ke pejabat JAIM bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman” katanya.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply