Berebut wanita dipercayai motif pembunuhan lelaki yang mayatnya ditemui terapung di tasik belakang Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya semalam.
Susulan penemuan itu, polis menahan tiga lelaki warga India berusia 23 hingga 52 tahun secara berasingan, semalam dan awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, suspek yang ditahan bekerja di pusat mencuci kereta di Kampung Sri Aman, Puchong.
Katanya, dua daripada mereka diberkas pada 8 malam di hadapan rumah TNB di Kampung Sri Aman, manakala suspek ketiga yang berusia 52 tahun ditahan pada 2.30 pagi tadi di Taman Puchong Prima.
Menurutnya, pihaknya turut merampas sehelai seluar berwarna hijau dan baju lengan panjang yang mempunyai kesan darah.
“Sebelum itu pada 12.05 tengah malam, anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sepang dan unit forensik Bukit Aman telah merampas sebilah parang berhulu hitam di kandang lembu di bawah jambatan Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya,” katanya hari ini.
Wan Kamarul berkata, serbuan di lokasi pertama merampas tiga telefon bimbit dengan suspek pertama dan ketiga tinggal di rumah sama, manakala suspek kedua tinggal serumah dengan mangsa.
Katanya, ketika disoal siasat suspek pertama berusia 23 tahun mengaku membunuh mangsa, namun suspek kedua (41 tahun) mendakwa tidak terbabit kes itu.
“Polis akan meneruskan siasatan selepas menerima perintah reman daripada mahkamah hari ini,” katanya yang memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Media semalam melaporkan polis mengesahkan mayat lelaki ditemukan terapung di tasik belakang Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya, semalam sebagai kes bunuh.
Sumber : Harian Metro