‘Ketagih’ Perdaya Warga Emas | Polis Maidstone, Kent di United Kingdom (UK) menyifatkan seorang wanita sebagai pesalah prolifik dalam aktiviti jenayah apabila berulang kali mengeksploitasi ahli komuniti untuk mengaut keuntungan dengan memperdaya warga emas.

Pegawai penyiasat, DC Mark Beeching dari Maidstone CID berkata, Emma Fuggles, 45, bukan sahaja memperdaya mangsanya, malah dia dengan berani kembali ke tempat kejadian untuk mengambil kesempatan lagi.

Beliau berkata seperti dilaporkan Mirror UK bahawa Fuggles adalah pesalah prolifik dengan sejarah aktiviti jenayah, jadi wajarlah dia menjalani hukuman di sebalik bar selepas gagal meminda caranya.

Mahkamah Crown Maidstone menjatuhi hukuman penjara dua tahun empat bulan terhadap Fuggles selepas didapati bersalah mencuri ratusan Pound Sterling daripada warga emas dalam penipuan dengan melakukan penyamaran sebagai pihak berkuasa.

Perbuatan itu dilakukan pada September tahun lalu ketika Fuggles bersama rakan jenayahnya, Kathleen Perry, 57, memakai seragam polis dan datang ke sebuah rumah di Maidstone, Kent.

Mereka meyakinkan mangsa bahawa dia adalah suspek untuk melakukan pelbagai kesalahan dan memberitahu lelaki itu akan ditangkap jika tidak menyerahkan kad bank serta nombor pinnya.

Fuggles dan rakannya mengeluarkan 500 Pound Sterling (kira-kira RM2,664) daripada bank akaun mangsa serta kembali keesokannya tetapi melarikan diri apabila mangsa memberitahu sudah menghubungi polis.

Beberapa hari kemudian, Fuggles datang ke rumah mangsa seterusnya dengan menyamar sebagai pegawai perumahan dan memberitahunya seorang jiran memesan peralatan tempat tidur yang perlu dibayar.

Taktiknya menjadi apabila mangsa lelaki berusia 69 tahun menyerahkan kad bank dan mengeluarkan 150 Pound Sterling (kira-kira RM799) daripada akaun banknya.

Fuggles kemudiannya ditangkap didakwa atas kesalahan pecah rumah, dua pertuduhan mencuri, dan dua pertuduhan penipuan di mahkamah.

Rakannya, Perry turut ditangkap dan didakwa atas tuduhan mencuri dan penipuan untuk kes yang sama dan direman dalam tahanan, lapor Kent Online.

Bagaimanapun, dia enggan hadir ke mahkamah untuk praperbicaraan dan tanpa kehadirannya kemudiannya didapati bersalah.

Sumber: Harian Metro

 

Artikel Lain

Warga Emas Didakwa Lakukan Amang S@ksual Terhadap Kanak-kanak Perempuan

Warga Emas Didakwa Lakukan Amang Seksual Terhadap Kanak-kanak Perempuan | Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan.

Tertuduh, Talib Ali, 69, yang juga peniaga kedai runcit membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Talib didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun tujuh bulan di sebuah kedai di daerah ini, jam 5 petang pada 31 Disember 2022.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 8 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply