Buaya Muncul Dekat Landasan Lapangan Terbang | Seekor buaya sepanjang kira-kira lima meter dilaporkan ditemukan berdekatan pagar landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin di bandar Maros, Sulawesi Selatan di Indonesia.

Bagaimanapun, buaya itu berjaya ditangkap oleh pasukan Perkhidmatan Bomba Maros.

Lapor CNN Indonesia, Ketua Polis Mandai, Asep berkata, reptilia ganas itu ditemukan oleh sekumpulan penduduk yang sedang memancing berhampiran lokasi berkenaan.

Beliau berkata, buaya itu muncul di kawasan sawah milik penduduk namun anggota bomba berjaya menangkapnya.

Menurut Asep, penduduk melaporkan mengenai penemuan buaya di luar pagar landasan lapangan terbang itu, kepada jabatan bomba Maros.

Katanya, beberapa anggota bomba segera menangkap dan memindahkan haiwan reptilia itu dari sawah milik penduduk setempat.

Katanya, buaya itu ditangkap menggunakan peralatan sedia ada. Selepas itu, anggota bomba melakukan pencarian di lokasi buaya ditemukan dan menemukan 34 biji telur reptilia itu.

Tambah beliau, anggota bomba kemudian membawa buaya yang ditangkap bersama 34 biji telur haiwan itu ke Ibu Pejabat Bomba Maros.

Sumber: Utusan Malaysia

 

Artikel Lain

Buaya Tembaga Berkeliaran Di Kampung Air Hitam

Kuantan: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang menasihati orang ramai supaya tidak menghampiri sebatang jalan yang juga lokasi terakhir seekor buaya tembaga dilihat di Kampung Air Hitam di sini, kelmarin.

Pengarah Perhilitan Pahang Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan reptilia itu berada di kawasan semak di situ, yang kini ditenggelami banjir.

Menurutnya, kakitangan Perhilitan daerah sudah meninjau kawasan terbabit sebelum sebarang tindakan dibuat.

“Semalam, kita dapati ramai remaja dan kanak-kanak berada di kawasan itu bagi melihat lebih dekat sambil bermain air di lokasi buaya berkenaan ditemui.

“Kami minta orang ramai supaya tidak berada di lokasi itu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Saya juga mengingatkan penduduk Kampung Air Hitam supaya lebih berhati-hati, paras air banjir yang meningkat di kawasan terbabit membolehkan buaya bergerak bebas dan muncul di mana-mana,” katanya semalam.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau kawasan terbabit secara berterusan.

Rozidan menambah, Perhilitan mengenal pasti 10 kawasan penempatan penduduk di daerah ini yang terletak berhampiran Sungai Kuantan dan Sungai Belat yang sering dikejutkan dengan kemunculan buaya tembaga.

Menurutnya, tiga kawasan yang hampir dengan Sungai Kuantan ialah Kampung Belukar, Kampung Kurnia dan Kampung Jawa. Tujuh kawasan yang hampir dengan Sungai Belat ialah Kampung Seri Damai, Kampung Air Hitam, Taman Seri Inderapura, Kampung Razali, Kampung Belukar, Kampung Kurnia dan perumahan Sungai Isap.

Sementara itu, penduduk Kampung Air Hitam, Abu Sufian Husin, 54, berkata, kemunculan buaya tembaga itu menggemparkan penduduk.

Katanya, walaupun banjir melanda kawasan berkenaan hampir setiap tahun namun kemunculan buaya tidak pernah direkodkan.

“Reptilia ini mungkin tersesat. Buaya itu dilihat berada di atas jalan berkenaan dua malam berturut-turut dan masuk ke kawasan semak yang ditenggelami banjir akibat kehadiran orang ramai.

“Penduduk berharap Perhilitan dapat menangkap buaya itu bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Sumber: Harian Metro

 

Lelaki Parah Ketika Kutip Telur Buaya

Lelaki Parah Ketika Kutip Telur Buaya | Seorang lelaki kritikal selepas diserang seekor buaya ketika mengutip telur reptilia itu di kawasan paling terpencil di wilayah utara, Australia.

Ketika kejadian, lelaki itu sedang mengutip telur buaya di sepanjang Sungai Daly sebelum diserang reptilia itu.

Buaya itu membaham kaki lelaki berusia 29 tahun itu menyebabkan mangsa parah, namun dia berjaya melepaskan diri daripada rahang reptilia itu.

Mangsa, dikejarkan ke Hospital Royal Darwin menggunakan helikopter persendirian.

Jurucakap pihak Kesihatan Wilayah Utara berkata, keadaan lelaki yang sedang menjalani pembedahan kecemasan itu semakin merosot dan kritikal.

Lelaki itu kritikal namun stabil DAN kemudiannya dipindahkan ke Hospital Royal North Shore, Sydney.
Pengumpulan telur buaya disahkan kerajaan pada 2018, tetapi tertakluk kepada peraturan ketat.

Mereka yang mempunyai lesen boleh mengutip telur yang membawa pulangan lumayan.

Sebiji telur buaya dijual pada harga kira-kira AS$30 (RM127.97), manakala 60 biji telur dengan sarangnya boleh mencecah sehingga AS$1,800 (RM7,678.44).

Sebahagian daripada telur itu dipindahkan ke ladang buaya sebelum ia menetas dan dibesarkan.

Reptilia itu kemudian dibunuh untuk kulitnya bagi kegunaan membuat produk mewah seperti beg tangan.

Kira-kira 1,000 orang terbunuh setiap tahun akibat diserang buaya, berbanding kematian akibat serangan jerung iaitu hanya kurang daripada 500 orang sejak 1950.

Sumber: Harian MetroHarian Metro

Share.

Leave A Reply