Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen Selayang hari ini memerintahkan seorang lelaki yang menikam seorang pesakit di Hospital Selayang, menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak.
Hakim Nor Rajiah Mat Zin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal supaya Mohd Khairul Kamul, 22, dihantar ke pusat psikiatri kerana dipercayai keadaan mental tertuduh tidak stabil.
“Pihak pendakwaan membuat permohonan itu di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. Tertuduh juga telah ditahan dan menerima rawatan di Jabatan Psikiatrik Hospital Selayang sejak 15 Feb lepas. Tiada jaminan dicadangkan terhadap tertuduh,” katanya.
Tertuduh yang memakai baju hospital berwarna hijau didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah ke atas V Sathish Rao, 29, menggunakan sebilah pisau di Zon Kuning Bahagian Kecemasan Hospital Selayang di sini, pada 3.45 petang, 14 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mohd Khairul mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan namun mahkamah tidak merekodkan sebarang pengakuannya.
“Saya tidak sedar dan di bawah halusinasi serta terdengar bisikan-bisikan,” katanya ketika ditanya jurubahasa sama ada dia faham pertuduhan atau tidak.
Dalam prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dia dirawat di rumah kakaknya di Batu Caves.
Hakim Nor Rajiah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 29 Mac untuk sebutan kes bagi laporan psikiatri tertuduh.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki yang menghidap demam denggi datang ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan sebelum ditikam seorang pesakit mental.
Tikaman itu menyebabkan mangsa cedera pada abdomen kiri dan kanan badan serta bahagian belakang badan. Namun, mangsa kini dilaporkan stabil.
Sumber: Harian Metro
Seorang Lelaki Ditikam Pesakit Mental Di Hospital Selayang
Lelaki yang cedera ditikam seorang pesakit mental di Hospital Selayang, di sini semalam disahkan berada dalam keadaan stabil.
Difahamkan, mangsa yang menghidap demam denggi datang ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan sebelum diserang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berhubung kejadian itu, pihaknya akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) berhubung pesakit mental di wad kecemasan dan klinik.
“Sebelum tular maklumat yang salah, saya ingin memaklumkan bahawa kejadian lelaki ditikam (semalam) membabitkan pesakit mental yang dibawa ke hospital oleh polis.
“Ia boleh terjadi di mana-mana sahaja, jadi kita akan mengkaji semula SOP berhubung pesakit mental bagi menjamin keselamatan pesakit lain di wad kecemasan dan klinik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, mangsa yang cedera akibat tikaman itu berjaya diselamatkan pasukan perubatan dan dalam keadaan stabil.
Sumber : KMN