Wanita Mengandung Dijangkiti Koronavirus Selamat Lahirkan Bayi. ALHAMDULILLAH | Pasukan medikal sebuah hospital di China menghadapi ujian getir apabila seorang wanita mengandung yang positif koronavirus ingin melahirkan anak dan alhamdulillah bayi keluar sihat dan selamat. Baca selanjutnya.
IBU KORONAVIRUS DAN BAYI STABIL
Seorang wanita hamil yang disahkan positif koronavirus selamat melahirkan seorang bayi perempuan di sebuah hospital di Harbin di wilayah timur laut Heilongjiang pada Khamis lalu.
Perkara itu diumumkan Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Harbin semalam dan mengesahkan bayi seberat 3.05 kilogram itu turut diberikan skor 10 pada skala Apgar (merujuk kepada tahap kesihatan bayi) sejurus kelahirannya.
Difahamkan, skor 7 dan ke atas biasanya adalah normal bagi seorang bayi yang baru lahir.
Selepas beberapa hari dikuarantin dan dipantau, ibu dan bayi tersebut dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Wanita tersebut yang sarat hamil 38 minggu pada minggu lalu turut diberikan konsultasi oleh sekumpulan pakar obstetrik, pernafasan dan neonatologi.
Bagi mengelakkan keadaannya bertambah buruk selepas disahkan dijangkiti wabak itu, pakar terbabit memutuskan untuk melakukan pembedahan segera ke atasnya.
Kesemua kakitangan perubatan yang terlibat dalam prosedur pembedahan telah diletakkan di bawah langkah pengasingan untuk pemantauan lanjut.
Sementara itu, keputusan ujian sebanyak dua kali ke atas bayi terbabit mendapati dia negatif jangkitan koronavirus tersebut. – Agensi
KORONAVIRUS – RAK PASARAYA DI HONG KONG KOSONG
Kebanyakan rak barangan di pasar raya di Hong Kong kosong gara-gara penduduk di Hong Kong panik dan mahu mendapatkan bekalan mencukupi susulan penularan koronavirus di seluruh China.
Bandar raya antara terbesar dunia itu, yang didiami kira-kira 7.4 juta penduduk itu kini berdepan situasi panik luar biasa dan disifatkan lebih teruk berbanding serangan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang meragut hampir 300 nyawa di Hong Kong pada 2003.
Sepanjang akhir minggu lalu, ratusan penduduk dilaporkan sanggup beratur panjang selama beberapa jam untuk membeli topeng muka dan produk meningkatkan daya tahan tubuh seperti Vitamin C.
Di sebuah pasar raya utama di daerah Wan Chai, rak yang menempatkan daging beku dan makanan laut kosong menjelang tengah hari selain bekalan sayur-sayuran segar semakin berkurangan.
“Semua orang bimbang. Saya rasa semua orang takut dengan apa yang akan berlaku beberapa hari akan datang. Harga barangan juga akan naik,” kata eksekutif runcit, Cindy. – Agensi
Sumber: Sinar Harian