Abang Kepada Adik Maut Dicekik Pernah Jadi Mangsa Buli Di Asrama | MELAKA – Bapa kepada kanak-kanak yang maut dicekik abang kandung tidak menyangka keceriaan tiga daripada empat beradik makan serta bergelak tawa sehari sebelum kejadian adalah kenangan terakhir mereka bersama.

abang cekik adik

Pernah Jadi Mangsa Buli

Najli Yakob,42, berkata, mangsa Muhammad Haziq Damiri Najli, 9, sememangnya rapat dengan abang sulung berusia 14 tahun itu, namun kelakuan remaja terbabit berubah selepas didakwa menjadi mangsa buli di asrama sejak tahun lalu.

Dia yang bekerja sebagai tukang urut, mendakwa anaknya sebelum ini pernah memberitahu dibuli dan percaya kesan perbuatan tersebut telah menyebabkan dia mengalami trauma hinggakan sering meracau.

Katanya, insiden mencekik bukan pertama kali berlaku, namun dia dan isterinya yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Melaka juga pernah dicekik remaja terbabit sebelum berlaku tragedi hingga meragut nyawa anak ketiga daripada empat beradik.

Dia Tak Sedar Perbuatan Dia Terhadap Adiknya

“Dia (abang) pernah beritahu dicekik ketika tidur, dan disimbah air, malah laporan polis berhubung kejadian buli juga telah dibuat, akibat trauma dan pendam segalanya, saya yakin dia tak sedar apa yang telah dilakukan terhadap adiknya.

“Dia mengakui pernah ditumbuk, disepak guna kasut but namun selepas setahun dia tak lagi sebut nama dua pelajar itu kerana tak mahu dicederakan lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Piatu di sini, pada malam Rabu.

Ujarnya, meskipun reda dengan pemergian kanak-kanak, namun berharap kedua-dua pembuli itu dikenakan tindakan agar tiada lagi pelajar yang menjadi mangsa seperti yang terpaksa dilalui oleh anaknya hinggakan adik meninggal dunia.

Bercerita lanjut, bapa kepada empat orang anak berusia empat hingga 14 tahun itu, berkata, mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan malah kelihatan lebih ceria termasuk ketika mereka bercuti bersama di Kuala Lumpur pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

“Saya rasa bersalah sebab tinggalkan mereka berdua bersama, keadaan saya lemah dan longlai selepas dihubungi isteri memaklumkan arwah telah tiada,” katanya yang bergegas pulang ke rumah dari Terengganu.

Jenazah kanak-kanak lelaki itu dibawa ke rumah datuknya di Kampungku Sayang, Bukit Piatu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Piatu.

Sinar Harian pada malam Rabu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik oleh abang sulungnya berusia 14 tahun dalam kejadian jam 12 tengah hari di Kampung Bukit Piatu.

Jiran mangsa yang juga saksi kejadian, Qhurun Ain Johani, 31, berkata, dia mengetahui insiden itu apabila dihubungi ibu mangsa yang memaklumkan anak sulung dari empat beradik itu sedang mencekik adiknya.

Sumber : SH

 

ARTIKEL BERKAITAN

Abang Seakan Dirasuk Cekik Adik Usia 9 Tahun Sampai Mati.

Abang Seakan Dirasuk Cekik Adik Usia 9 Tahun Sampai Mati. | MELAKA: “Besar harapan saya dapat menyelamatkan mangsa namun ketika menepis tangan abangnya saya melihat muka adiknya sudah kebiruan.

SAKSI KEJADIAN

“Melihat situasi itu saya menjerit meminta tolong dengan jiran yang lain agar segera menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan,” kata Ain, 31, saksi kejadian yang meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dipercayai dicekik abangnya dalam kejadian di Bukit Piatu, di sini, hari ini.

Ain yang juga jiran kepada keluarga itu berkata, beliau menerima panggilan daripada ibu kanak-kanak terbabit kira-kira jam 12 tengah hari yang meminta ke rumah dan melihat anak ketiganya yang didakwa dicekik oleh abangnya, selepas melihatnya menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di telefon bimbit.

Katanya, sebaik tiba di rumah jirannya itu hanya terdapat dua beradik berkenaan di ruang tamu dan ketika itu anak ketiga jirannya itu sudah terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri, manakala abangnya yang berusia 14 tahun seakan-akan dirasuk.

“Emaknya yang tiba tidak lama selepas itu kemudian ditenangkan oleh jiran yang lain. Saya difahamkan mangsa tidak ke sekolah hari ini kerana sakit mata dan ditinggalkan bersama abang sulungnya. Pergerakan kedua-dua mereka dipantau menerusi CCTV.

SELALU MERACAU

“Saya masih trauma dan terkejut kerana melihat kejadian di depan mata. Abangnya seorang remaja yang baik tetapi difahamkan kebelakangan ini dia beberapa kali seperti meracau,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Mangsa berusia sembilan tahun manakala abangnya 14 tahun dan kes masih dalam siasatan.

“Orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, selain menjaga sensitiviti keluarga,” katanya.

TAHANAN REMAN

Selain itu juga dilaporkan Polis hari ini akan membuat permohonan reman ke atas pelajar lelaki 14 tahun yang disyaki mencekik adik kandungnya hingga maut di rumah mereka di Kampung Bukit Piatu, di sini, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, suspek dijangka dibawa ke Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh, di sini, jam 10 pagi.

Beliau berkata, pihaknya akan melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dari segenap aspek termasuk motif suspek bertindak mencekik adik lelakinya berumur sembilan tahun itu sehingga meninggal dunia,” katanya.

Media malam tadi melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai dicekik oleh abang kandungnya di rumah mereka di Kampung Bukit Piatu, di sini, kira-kira 12 tengah hari semalam.

IBU SEDAR APABILA LIHAT CCTV

Difahamkan kejadian disedari ibu mereka selepas terlihat perbuatan suspek melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) di telefon bimbitnya sebelum menghubungi jiran untuk membantu memeriksa keadaan anaknya.

Mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di ruang tamu dengan kesan kecederaan di bahagian muka, hidung dan leher.

Siasatan polis mendapati semasa kejadian suspek hanya tingal berdua bersama adiknya itu manakala ibu bapanya keluar bekerja.

Dia adalah anak sulung daripada empat beradik dan disahkan tidak memiliki sebarang rekod disiplin sebelum ini.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply