Banduan Sesak Nafas Ketika Makan Meninggal Dunia Dlm Penjara | Arau: Banduan maut selepas mengalami sesak nafas ketika sedang makan tengah hari di Pusat Koreksional Perlis, di sini, hari ini.
Meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital
Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, Deputi Superintendan Shaharruddin Abdul Talib berkata, kejadian berlaku pada 1.15 tengah hari ketika mangsa, Mohd Hanafiah Abdul Samad, 42 sedang menjamu selera di bilik tahanannya di pusat koreksional berkenaan.
“Mangsa tiba-tiba mengalami sesak nafas sehingga tidak sedarkan diri dan pegawai penjara yang menyedari kejadian itu membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sekitar 25 minit kemudian.
“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, mangsa adalah banduan yang berada dalam tempoh tahanan reman dari Mahkamah Langkawi, Kedah.
“Dia ditahan di Pusat Koreksional Perlis bermula 16 Mei lalu atas kesalahan memiliki dadah mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mangsa menggunakan alat penyedut pernafasan
“Berdasarkan rekod kesihatan mangsa juga didapati mempunyai sejarah penyakit Hepatitis C dan sering mengambil alat penyedut pernafasan atau ‘inhaler’ kerana sering mengalami semput serta sesak nafas,” katanya.
Shaharruddin berkata, keluarga dan waris mangsa sudah dimaklumkan, namun tidak dapat hadir kerana berada di Langkawi.
Katanya, proses bedah siasat dijangka dijalankan esok dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Sumber: Harian Metro
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Seorang Banduan Dipenjara 40 Tahun Bebas Slps Dapat Pengampunan Dari Sultan Johor
Selepas 40 tahun menghabiskan hayat di dalam tirai besi, tarikh 22 Mac menjadi tarikh keramat buat Jamil Wahab, 63, apabila dibebaskan setelah mendapat pengampunan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, 22 Mac lalu.
Tempoh itu menjadikan Jamil yang mesra disapa Pak Jamil Hayat sebagai banduan paling lama di negara ini menerima hukuman kini bebas, dan kembali ke kampung halamannya di Kampung Guang, Keliwang, Sembawa di Indonesia, awal pagi ini.
“Bila saya tahu dapat pengampunan pembebasan, saya tidak percaya kerana saya sedia maklum berkenaan hukuman sepanjang hayat di penjara. Masa tahun 2012, ada pengampunan beramai-ramai di Johor dengan banduan paling lama adalah 37 tahun sedangkan waktu itu saya 29 tahun. Terus saya kata dalam hati, saya takkan ada peluang.
“Saya fikir akan mati di dalam penjara sahaja dan tidak mempedulikan apa yang akan berlaku dalam dunia ini. Saya ingat mati nanti apa yang saya akan bawa, jadi tumpu untuk beribadah.
“Pagi semalam ketika tuan pengarah beritahu saya dapat pengampunan, saya hanya masuk telinga kiri keluar telinga kanan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Penjara Taiping, semalam.
Jamil berkata, beliau amat bersyukur kerana diberi peluang untuk menghabiskan sisa hidupnya di kampung halaman, namun jauh dari sudut hatinya berat untuk meninggalkan sebuah bangunan tembok besi agam yang mengubahnya menjadi seorang manusia yang berguna.
“Saya seronok dapat ‘ampun’, tapi saya sedih sangat untuk tinggalkan penjara ini. Seronok ada tapi sedih lagi tebal kerana akan berpisah dengan staf yang menjaga saya seperti seorang sahabat dan bukan sebagai banduan,” katanya.
Penjara mengajar Jamil menjadi seorang pekerja mahir dalam bidang jahitan apabila sehingga kini beliau telah menghasilkan ribuan baju Melayu dan blazer untuk pegawai-pegawai penjara.
Sebelum dipindah ke Penjara Taiping dari Penjara Johor Bahru, Jamil mengutip pengalaman dari bengkel rotan menghasilkan perabot seperti kerusi dan meja.
Malah katanya berbekalkan ilmu agama yang dipelajari selama di kampung dahulu, 40 tahun meraikan hari raya di penjara, Jamil memimpin jemaah lain bersolat termasuk solat Hari Raya.
Jamil kemudian dipindahkan ke Penjara Taiping pada 1986 untuk meneruskan hukumannya.
Nazri menyifatkan Pak Jamil sebagai seorang banduan yang warak dan sentiasa tekun dalam setiap bidang yang diceburi selain disenangi oleh penghuni di penjara ini.
“Dia amat aktif dalam aktiviti keagamaan apabila dia menjadi imam dalam sel dan mengajar penghuni lain membaca Al-Quran. Hubungan Pak Jamil sesama penghuni lain adalah baik dan rapat. Bila sebut sahaja Jamil Hayat, semua kagum dan hormati dia atas ketokohan dan kepimpinan melalui ilmu yang diperoleh,” katanya.
Sumber : HM