Tiada halangan untuk ibu bapa membawa bersama anak untuk melakukan aktiviti ekstrem, namun aspek keselamatan perlu diberi keutamaan bagi mengelak insiden tidak diingini.

Demikian pandangan Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Lumpur, Jameyah Sheriff ketika diminta mengulas mengenai kecenderungan segelintir ibu bapa membawa anak kecil bersama dalam aktiviti lasak yang lazimnya dilakukan remaja dan golongan dewasa seperti video tular di laman sosial, baru-baru ini.

Menurut Jameyah, pembabitan kanak-kanak dalam aktiviti berkenaan ada baik buruknya dan ia bergantung bagaimana ibu bapa serta orang dewasa yang ada di sekeliling mengendalikannya (aktiviti).

“Ada pro dan cons, pro nya kalau aktiviti itu dilaksanakan dengan menitikberatkan aspek keselamatan.

“Selain pemakaian alat keselamatan, ketinggian permainan hendaklah pada paras kanak-kanak dan orang dewasa yang mengiringi mereka.

“Aspek ketinggian itu amat penting bagi memudahkan kanak-kanak terbabit diselamatkan orang dewasa jika berlaku sebarang insiden tidak diingini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Jameyah yang juga Pakar Industri Negara dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak berkata, perkara lain yang perlu diberi perhatian sebelum membawa anak ketika melakukan aktiviti ekstrem adalah emosi kanak-kanak terbabit.

Oleh itu, ibu bapa sendiri yang perlu memahami emosi anak mereka berdasarkan pemerhatian sebelum melakukan apa juak aktiviti ekstrem.

“Ia kerana bukan semua kanak-kanak tahu dan berani suarakan ketakutan mereka jadi ibu bapa yang perlu peka.

“Mungkin tujuan ibu bapa untuk memupuk sikap berani dalam diri anak. Tetapi, jangan sampai lupa kanak-kanak juga ada emosi malah jangan anggap mereka mengada-ngada jika enggan melakukannya.

“Ini kerana tahap keberanian setiap kanak-kanak berbeza, ada yang berani, ada yang takut. Dikhuatiri aktiviti berkenaan memberi kesan trauma jangka masa panjang dan takut kepada ketinggian dalam kalangan kanak-kanak terbabit.

“Boleh jadi trauma itu kekal sampai bila-bila. Lebih membimbangkan jika kanak-kanak terbabit jadi terlalu berani untuk mencuba aktiviti lebih ekstrem tanpa pengawasan orang dewasa,” katanya.

Tambah beliau, selagi mana aktiviti ekstrem itu boleh mengutamakan ciri keselamatan, terpulang kepada ibu bapa sama ada mahu mengajak anak mereka atau tidak.

“Seawal usia tujuh atau lapan tahun sudah boleh, yang penting aktiviti itu lengkap dengan ciri seperti tali pinggang dan topi.

“Kiranya, pengendaliannya perlu mengikut spesifikasi ditetapkan dan lebih baik jika pihak berkuasa tempatan (PBT) tahu mengenainya.

“Ini kerana jika ibu bapa terbabit boleh didakwa kerana kecuaian mereka mengikut Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial berkenaan rakaman video memperlihatkan seorang wanita melakukan aktiviti ekstrem flying fox dengan membawa anak kecil.

Dalam rakaman itu, wanita berkenaan dilihat memegang tali di sebelah tangan dan sebelah lagi menampung anak kecil.

Tindakan wanita itu mengundang rasa tidak senang dalam kalangan netizen yang rata-ratanya mengecam perbuatan itu kerana mengancam nyawa kanak-kanak terbabit.

“Kita ni pun gayat wei lagi lah budak kecik. Lasak mcm mana sekali pun kalau lah masa tu nasib tak baik bukan nak mendoakan. Tali terlonggar terlepas masa tu menangis meraung tak guna dah. Jenis mak pak degil ni payah nak kata belum terkena sampuk bila dah kena baru ada akal,” @GRLSH3QDO1T.

Bagaimanapun, menerusi Instagram penganjur, mereka menjelaskan situasi sebenar dan menyifatkan aktiviti berkenaan biasa dilakukan serta segala ciri keselamatan diterapkan kepada pengunjung.

Sumber: Harian Metro

 

Share.

Leave A Reply