Setiap daripada kita diuji dengan cara yang berbeza-beza. Adakalanya kita diduga dengan kesusahan yang akhirnya menjadi jalan untuk berbuat kebaikan.

Itulah yang berlaku kepada seorang peniaga ini apabila didatangi seorang lelaki yang sudah lanjut usia ke kedainya yang terletak di Kota Lama, Kuala Kangsar, Perak.

Ujar Humaira Hairul Anuar, 34, ketika kejadian 7 November lalu, lelaki berkenaan meminta untuk makan nasi goreng.

“Saya baru berpindah dari Shah Alam dan buka kedai makan dekat sini. Kedai kami ni tak ramai orang datang macam kedai lain. Biasanya memang banyak termenung saja menunggu pelanggan.

“Tapi pada satu petang tu, pakcik ni datang kedai makan minta nasi goreng. Pakcik tu beritahu yang dia tak puas makan biskut saja waktu sarapan.

“Tapi nasi putih dah habis. Jadi saya gantikan dengan nasi ayam lauk ikan keli dengan sambal ikan bilis. Lauk tu memang dah dimasak untuk dijual… saya sedekah je untuk pakcik tu,” ujarnya ketika ditemu bual.

Tambah Humaira, pakcik tua itu hidup sebatang kara dan belum berkahwin.

Jelasnya lagi yang sudah mengusahakan perniagaan di situ sejak 1 Januari lalu, ini bukanlah kali pertama pakcik tersebut datang untuk makan di kedainya.

Malah, dia juga siap memberi pesanan kepada lelaki itu untuk datang ke kedai makannya untuk diberikan makanan secara percuma.

“Pakcik ni memang penduduk sini. Dia duduk dekat rumah dia sorang-sorang. Selalu juga nampak dia melintas kedai saya naik basikal. Kadang-kadang dia jalan kaki sahaja.

“Dia berumur dalam lewat 50an macam tu. Menurut abah saya, dia memang tak berapa sihat. Saya kasihan dengan nasib pakcik ni jadi sebab itulah saya tak pernah berkira nak bagi makanan free dekat dia,” jelasnya.

Imbas Humaira, pakcik yang hidup dalam kesusahan ini pernah bertanya satu soalan sehingga membuatkan hatinya tersentuh.

Malah, persepsi dan tanggapannya dalam dunia perniaga berubah sehingga dia menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan perniagaan sehingga kini.

“Ada satu soalan dia pernah tanya dekat saya ‘kenapa ya orang selalu bagi makan tapi duit orang tak nak bagi?’ MasyaAllah tersentu hati dengar.

“Mana tidaknya, gologan orang macam pakcik ni ada juga keinginan beli barang atau makanan yang dia nak.

“Jadi saya anggap ini peluang yang Allah beri untuk saya belajar daripada dia. Kita ada pilihan untuk berbuat kebaikan dan menjadi orang baik,” tambahnya.

Pada masa ini, rekod perkongsian video yang mengundang sebak netizen ini menjadi tular sehingga meraih lebih 100,000 tontonan.

Rata-rata daripada warga maya mula memuji wanita ini malah bertanya mengenai lokasi serta menu yang jual di kedainya.

“Semoga akak diberi rezeki 20x lipat. Amin. Keep doing what u doing kak,” @Obiitochai.

“Ya Allah luaskan rezeki adik ni, mulianya hatimu dik,” @Sham Anie.

“Saya tak sangka video tu akan jadi viral. Niat asalnya saya cuma nak kongsikan sebagai salah satu kenangan saya berniaga.

“Kedai tu saya beri nama Mee Rebus YB (Yang Buat) yang beroperasi dari pukul 1.30 tengah hari sehingga 8 malam.

“Dekat kedai saya ni ada jual mi rebus, mi sup, mi kari, nasi ayam, nasi tomato dan popis,” ujarnya lagi.

Sumber: Mstar

Share.

Leave A Reply