(Ada Video) Lelaki ‘Tersembam’ Atas Meja Tak Sedarkan Diri, Nyaris Maut Tersedak Makanan | Telah tular satu video memaparkan detik-detik cemas seorang lelaki yang tercekik makanan di sebuah restoran di Brazil, lapor Daily Mail, baru-baru ini.
Menerusi satu rakaman CCTV, lelaki tersebut dilaporkan dilihat sedang makan seorang diri sebelum memegang kepalanya dan tersembam di atas meja.
Beberapa orang pelanggan lain yang juga sedang makan di restoran di perhentian Graal Petropen, Sao Paulo itu terus berlari ke arah mangsa dan cuba menyelamatkan lelaki terbabit yang dilihat terkulai berdekatan meja makannya.
Seorang pekerja restoran turut dilihat datang ke tempat kejadian dan melakukan teknik Heimlich Manoeuvre untuk menyelamatkan lelaki itu. Dia memegang pinggang mangsa dari belakang dan menekan bahagian perut mangsa ke atas untuk mengeluarkan makanan yang tersekat, menerusi laporan Daily Mail.
Mereka semua berusaha untuk menyelamatkan lelaki itu dengan mengulangi teknik tersebut. Setelah itu, dua orang polis datang untuk melihat keadaan yang berlaku dengan salah seorang dari mereka turut menggunakan teknik Heimlich Manoeuvre sehingga berjaya menyelamatkan mangsa.
Rakaman tersebut turut menunjukkan bahawa pegawai tersebut menepuk bahagian belakang lelaki itu sebelum dia didudukkan di atas kerusi.
Mangsa selepas itu telah diperiksa oleh petugas kesihatan sebelum dibenarkan meneruskan perjalanannya semula.
Difahamkan lelaki itu dalam perjalanan dari Curitiba, Parana ke Sao Paulo dengan menaiki bas yang berhenti untuk berehat pada ketika itu.
Sumber: Daily Mail