Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan sambutan negara dalam lawatan rasmi beliau ke Indonesia di Istana Bogor di sini, pagi ini.

[ADA VIDEO] PM Malaysia Diberi 'Sambutan Negara' Di Istana Bogor

Beliau disambut Presiden Joko Widodo sejurus tiba di halaman depan diikuti lagu kebangsaan Negaraku dan Indonesia Raya, disusuli 19 das tembakan penghormatan.

Ia disusuli pemeriksaan barisan kehormat dan memperkenalkan delegasi Indonesia oleh Jokowi dan delegasi Malaysia oleh Perdana Menteri.

Acara ini disiarkan secara langsung menerusi YouTube Sekretariat Presiden dan siaran televisyen tempatan. Ini adalah lawatan pertama Anwar selepas dilantik Perdana Menteri sejurus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Selepas sesi bergambar, Anwar menandatangani buku pelawat di Dewan Teratai, diikuti acara menanam pokok Merawan atau Hopea odorata, di halaman belakang istana.

Jokowi kemudian membawa Anwar melawat sekitar istana dalam Kebun Raya Bogor. Kebun itu seluas 87 hektar dan terdapat 15,000 spesies pokok serta tumbuhan.

Usia Kebun Raya Bogor sudah mencecah 205 tahun, sekali gus menjadi antara taman botani tertua di dunia. Kebun Raya Bogor juga mendapat pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Jokowi dan Anwar kemudian beredar untuk acara Sembang Beranda atau Veranda Talk di beranda Istana Bogor.

Sembang Beranda adalah suatu tradisi yang diperkenalkan Jokowi untuk tetamu negara yang penting dan rapat dengan negara itu.

Kedua-dua pemimpin kemudian menyaksikan acara penyerahan 11 Surat Hasrat daripada 10 syarikat Malaysia dalam pembangunan ibu kota negara (IKN) Nusantara, sebuah pusat pentadbiran Indonesia di Kalimatan Timur, berhampiran Sarawak.

Ia diserahkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kepada Pengerusi Lembaga Pihak Berkuasa IKN Nusantara, Bambang Susantono.

Hadir sama di Istana Bogor ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Azlan Mohd Shaffieq.

Sumber: BH

Berita Berkaitan..

Indonesia-Malaysia Bersepakat Selesai Isu Dua Hala 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Jokowi sepakat untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

Indonesia-Malaysia Bersepakat Selesai Isu Dua Hala 

Kedua-dua pemimpin itu juga bertekad untuk segera menyelesaikan beberapa isu berbangkit yang belum ditangani, antaranya isu tenaga kerja Indonesia dan pendidikan anak mereka di Malaysia, penyelarasan pengambilan pekerja dan persempadanan.

Dalam pernyataan bersama selepas pertemuan di Istana Bogor sebentar tadi, Anwar dan Jokowi juga sepakat pelbagai perbincangan yang belum diputuskan diselesaikan segera dan perjanjian ditandatangani tahun ini.

Anwar memberi komitmen memastikan isu perlindungan terhadap pekerja-pekerja dari Indonesia diberi keutamaan selain berusaha untuk memastikan urusan kemasukan pekerja dari Indonesia dipermudahkan.

“Kita akan berusaha menghindari isu-isu yang boleh merenggang dan meretakkan hubungan kerana saya mahu hubungan Malaysia dan Indonesia ini istimewa.

“Soal Tenaga Kerja Indonesia (TKI) ini mengguris perasaan ramai rakyat Indonesia bukan hanya pemerintah dan saya tahu benar kerana saya berpengalaman di penjara yang sama, mendengar kesan ‘cambokan’ terhadap mereka dan saya fikir ini tidak manusiawi dan pada tahun 2022 cambokan sudah dihentikan.

“Tetapi itu bukan penyelesaian, penyelesaian perkara ini harus menyeluruh supaya nasib pekerja dapat dibela.

“Soal agensi pekerja harus pemudahkan tidak mengambil keuntunagn berlebihan untuk menekan pekerja dan digitalisasi unit ini sangat penting kerana ia akan mengurangkan kerenah birokrasi dan mengurangkan penggunaan ejen,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia tidak mahu isu berkaitan terus berpanjangan yang menjejaskan usaha dua negara untuk mencapai kesepakatan demi kepentingan rakyat dan kedua-duanya negara.

Mengulas isu persempadanan, Anwar menjelaskan sudah banyak mesyuarat dan rundingan diadakan, namun masih banyak belum diselesaikan dan Malaysia berharap ia dapat diputuskan dengan perjanjian kerjasama.

“Hal-hal perbatasan sebagainya, tentunya kita akan teliti dan laksanakan. Dari taklimat yang saya perolehi tidak terlalu banyak kerumitannya hanya memerlukan tekad yang jelas.

“InsyaAllah dalam masa terdekat saya akan bawa ke jemaah menteri berhubung perkara ini,” katanya lagi.

Sebelum itu, kedua-dua pemimpin bertukar-tukar buah fikiran di beranda Istana Bogor selepas Anwar diberikan sambutan negara dalam lawatan rasmi beliau ke Indonesia.

Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply