Adakah Ini Pengorbanan? | Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada admin dan pembaca iium confession. Terlebih dahulu diucapkan ribuan terima kasih kepada pihak admin kerana sudi kiranya menyiarkan luahan hati saya seorang insan kerdil yang hanya ingin berbakti pada orang tuanya.

Saya berumur 29 tahun dan alhamdulillah baru bekerja di dalam sektor
kerajaan dengan berstatus tetap. Gred saya kecil sahaja. Tapi cukup
alhamdulillah dengan rezeki ini.

Saya bekerja sebagai seorang pembantu tadbir dalam sebuah organisasi
kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri. Alhamdulillah.

Saya telah berkahwin selama 6 tahun dan masih belum dikurniakan zuriat.
Isteri bekerja online sendiri, pendapataan tidak menentu dan kami
pasangan PJJ (saya di negeri lain, isteri di negeri lain.. pulang bila
ada rezeki lebih)

Isteri tidak dapat mengikuti saya kerana dia perlu menjaga kakaknya
seorang o.k.u. dan ibunya yang telah uzur memandangkan semua adik
beradiknya berhijrah ke negeri lain untuk mencari rezeki.

Alhamdulillah isteri seorang yang kuat menyokong saya dan mudah dibawa
berbincang. Sudah memohon pertukaran tapi masih lagi gagal.

Untuk pengetahuan admin dan rakan-rakan, saya merupakan anak tunggal
lelaki dalam keluarga di mana saya lahir dalam keluarga yang sederhana.

Adik beradik saya yang lain sudah berkerja swasta di tahap biasa-biasa
sahaja seperti saya dan masih bujang. Masing-masing mempunyai komitmen
yang tinggi untuk diri sendiri.

Ayah saya berpoligami (2 isteri termasuk ibu saya) dan dikurniakan
seorang anak lelaki tunggal juga.

Situasi di sini agak sukar untuk dijelaskan apabila saya yang merupakan
anak lelaki tunggal dan satu-satunya yang berkerja kerajaan diharapkan
untuk menyediakan sebuah rumah untuk ibu dan adik-beradik duduk.

Ayah mempunyai sebidang tanah di kampung yang ibu meminta saya
membuatkannya rumah di situ.

Rumah yang ada sekarang hanya tinggal masa untuk roboh kerana dimakan
waktu. Saya ingin mencuba membuat permohonan perumahan dari LPPSA.

Akan tetapi tanah di kampung perlulah ditukarkan kepada nama saya dahulu
dan telah dipersetujui oleh adik beradik yang lain memandangkan mereka
tidak mampu untuk membantu membuatkan rumah tersebut..

Ayah seperti tidak bersetuju untuk menukar nama kepada saya seorang
kerana dia mahukan semua anak-anak ada nama atas tanah tersebut.

Tanah tersebut tidaklah besar hanya cukup untuk sebuah rumah berkeluasan
4 bilik. Rumah sekarang rumah kayu 2 bilik.

Saya sudah menerangkan bahawa saya bukan berniat nak merampas atau
tamakkan harta secebis yang ada, cuma saya perlu hanya untuk membuat
pinjaman perumahan.

Dan sekiranya adik beradik saya sudah berkeluarga dan satu hari nanti
tiada tempat tinggal, bolehlah menetap di situ. Saya tidak akan menetap
di situ kerana bekerja di negeri lain. Ibu dalam proses memujuk ayah
supaya bersetuju.

Jujur saya akui, ayah merupakan suami yang tidak berapa adil dalam
berpoligami. Bukan mahu membuka aib, tapi sebagai peringatan kepada kaum
adam, sekiranya tidak mampu berlaku adil.

Usahlah difikirkan untuk berpoligami. Untuk ibu kedua saya, ayah telah
membeli rumah lain, kereta, dan sebagainya.. sedangkan ibu saya tiada
apa-apa termasuklah tanah ayah yang ibu cadangkan untuk membuat rumah.

Telah saya syorkan kepada ibu untuk saya membeli rumah perumahan yang
tiada kena mengena dengan orang lain. Tapi ibu sayangkan tanah itu dan
rumah sekarang. Saya amat buntu dengan situasi sekarang.

Stress hanya Allah yang tahu bila memikirkan harapan ibu, dan keadaan
saya sendiri yang hanya mempunyai sebuah motorsikal sahaja.

Kadang-kadang sudah terlalu penat berulang ke rumah isteri 5 jam
perjalanan menempuh ketidaktentuan cuaca, balik kampung sendiri 7 jam
perjalanan.

Untuk naik bas, saya kesiankan isteri saya yang terpaksa keluar awal
pagi untuk mengambil saya di hentian bas.

Teringin memiki sebuah kereta, walaupun cuma sebuah kancil terpakai.
Apakan daya sekiranya ayah bersetuju dan proses membuat rumah
dijalankan, saya akan berhutang selama 35 tahun.

Dan lebihan gaji setelah tolak nafkah isteri, nafkah wajib ibu ayah,
rumah sewa saya, barang dapur saya, barang dapur isteri, dan seandainya
pinjaman tersebut lulus hanya tinggal beberapa puluh ringgit sahaja gaji
saya.

Saya turut membuat kerja part time membantu isteri menjual barangan
online. Hari-hari akan berfikir tentang perancangan kewangan walaupun
sudah tahu akan hasilnya.

Sekiranya ditakdirkan kami memperoleh cahaya mata, adakah mampu saya
menjadi ayah yang dapat menyediakan segala-galanya untuk dia.

Teringin menghadiahkan isteri barangan yang membuatkan isteri bahagia,
tetapi masih belum mampu.

Rasa amat sedih bila isteri teringin untuk makan makanan yang terlintas
tapi saya hanya mampu memohon supaya dia bersabar.

Rasa malu apabila dia yang selalu membelanja saya makan dan baju
walaupun dia kurang pendapatan.

Ya Allah, Berilah peluang untuk hambaMu ini berbakti kepada ibu, adik
beradik, lapangkan dada dan diberi kekuatan untuk menjadi anak, suami
dan abang yang baik kepada keluargaku.

semoga isteriku yang redha bersuamikan aku tergolong dalam golongan
muslimat yang kau cintai dan sayangi. Aaamin Yaaa Rabbal Alamin

Saya mohon pandangan rakan-rakan lebih-lebih lagi yang senasib dengan
saya, apakah cara anda yang boleh kongsikan untuk menghilangkan
kebuntuan saya ini.

– Rul – anak yang cuba berbakti kepada ibunya (Bukan nama sebenar)

 

Kredit: IIUM Confessions

 

Share.

Leave A Reply