Pelakon Amelia Henderson menegaskan akan tetap berhadapan dengan saman dan tidak memilih untuk menyelesaikan kes diluar mahkamah dalam saman yang dikemukakan penerbit sensasi, Datuk A. Aida.
Amelia, 27, berkata dia yakin bahawa dia di pihak yang benar dalam kes saman itu.
“Saya ada keyakinan, saya rasa tidak bersalah, jadi saya tidak takut. Saya yakin dengan peguam saya dan yakin dengan kes saya,” katanya yang mengakui baru pertama kali berhadapan dengan kes saman di mahkamah.
Amelia memberikan kenyataan ketika ditemui di perkarangan kompleks Makhamah Kuala Lumpur, di sini hari ini. Dia baru sahaja tamat perbicaraan hari pertama kes saman di Makhamah Sesyen Sivil.
Sementara itu, ditanya mengenai keputusan rakannya pelakon Idris Khan yang menyelesaikan kes saman diluar mahkamah, Amelia berkata itu terpulang pada hak masing-masing.
“Saya selalu sokong keputusan kawan saya, dia ada hak untuk membuat keputusan dia,” katanya lagi.
Terdahulu, dalam prosiding hari pertama perbicaraan Amelia Henderson kekal dengan keputusan untuk meneruskan perbicaraan.
Sebelum itu, media melaporkan kes saman melibatkan penerbit sensasi, A. Aida bersama, Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah.
Keputusan itu dibuat selepas A. Aida selaku plaintif menarik balik saman terhadap Idris ketika perbicaraan diadakan.
Dalam prosiding peguam mewakili Idris selaku defendan kedua iaitu Jason Wee memohon supaya kes berkenaan diselesaikan secara baik di luar mahkamah. Pihak A. Aida bagaimanapun setuju dengan cadangan tersebut.
Susulan kes berkenaan mendapat kata sepakat kedua-dua pihak, Hakim Zulqarnain kemudian merekodkan persetujuan penyelesaian.
Sementara itu, A.Aida ketika ditemui berkata, dia memilih untuk berdamai kerana menganggap Idris seperti adiknya sendiri selain perkenalan mereka sudah lama terjalin.
Sebelum ini dilaporkan Amelia dan Idris berdepan tindakan saman daripada A. Aida. Hal ini kerana mereka didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani.
A. Aida bersama sutradara drama, Sekali Lagi Cinta Kembali iaitu Rizal Baharuddin sepakat membawa perkara tersebut ke muka pengadilan sekali gus memberi pengajaran kepada dua pelakon terbabit.
Sumber: Kosmo