.Apa Hukum Masak Haiwan Laut Hidup-Hidup? Ini Penjelasan Dr. Zulkifli Yang Kita Perlu Tahu | Khalifah Media Networks – Ramai yang tampil dengan persoalan hukum masak haiwan laut hidup-hidup. Ikuti penjelasan daripada Dr Zulkifli mengenai persoalan ini.
PUTRAJAYA: Hukum memasak haiwan laut secara hidup-hidup seperti ikan, sotong kurita dan seumpamanya adalah makruh.
Itu penjelasan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi artikel terbaharu soal jawab agama dikeluarkan portal Maktabah Al-Bakri, hari ini.
Beliau tampil menjawab persoalan umat Islam mengenai hukum memasak haiwan laut yang masih hidup. Seperti yang banyak dilakukan di kedai makan dan restoran.
Bagaimanapun, Zulkifli berkata, adalah lebih baik, sekiranya ia (haiwan laut) dimatikan terlebih dahulu dengan cara yang terbaik atau menunggunya mati terlebih dahulu sebelum dimasak.
“Ini kerana kebiasaannya haiwan yang tinggal di air tidak dapat hidup lama di atas darat (setelah berpisah dengan air).
“Lebih-lebih lagi, kita dituntut supaya bersikap ihsan terhadap haiwan dan dalam perbuatan ihsan itu termasuklah dengan kita tidak memasaknya secara hidup-hidup.
“Perbuatan memasak haiwan ketika ia masih hidup tidak mencerminkan akhlak sebagai seorang Islam yang dekat dengan sifat rahmat iaitu bersikap belas kasihan dan berkasih sayang sesama makhluk,” katanya.
Kenyataan lain Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Katanya, perbuatan atau cara memasak haiwan laut secara hidup-hidup itu adalah sejuzuk daripada perbuatan menyeksa haiwan.
Zulkifli berkata, sebagai orang Islam dituntut untuk berniat baik kepada semua makhluk. Tidak kira orang Islam atau orang bukan Islam termasuklah haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan.
Menurutnya, ketika mahu menyembelih haiwan seperti lembu dan kambing sekali pun, umat Islam disuruh berbuat baik dengan cara terbaik iaitu menggunakan pisau tajam dan tidak memperlihatkannya ketika disembelih kepada haiwan lain.
“Namun, berbeza dengan hidupan air kerana secara umumnya adalah halal dan tidak berhajat kepada sembelihan serta bangkainya dianggap suci,” katanya.
Kitab al-Mausu’ah al-Fiqhuyyah al-Kuwaitiyyah turut menyatakan, seseorang yang mendapatkan ikan yang masih hidup. Tidak boleh terus memakannya sehingga ikan itu mati atau dimatikan terlebih dahulu.
Jelas kitab itu lagi, hukum memanggang ikan secara hidup-hidup juga makruh kerana perbuatan itu telah menyeksa makhluk itu tanpa keperluan.
Sumber: Utusan