Apabila Golongan Kayangan Ingkar SOP | Pihak berkuasa telah mengenakan hukuman terhadap individu yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Hukuman dikenakan bagi mereka yang telah merentas negeri atas urusan yang tidak mustahak.
Individu yang dikenali sebagai selebriti media sosial dan suaminya telah mengaku kesalahan dengan melanggar SOP bagi merentas negeri. Hukuman yang dikenakan terhadap mereka adalah penjara selama satu hari dan denda sebanyak RM2500.
Mereka suami isteri dijatuhkan hukuman bersalah kerana telah memberikan maklumat palsu kepada pihak berkuasa bagi emmbolehkan mereka mendapat pelepasan merentas negeri. Tindakan mereka yang memalsukan maklumat untuk merentas negeri bagi tujuan berbulan madu adalah suatu yang tidak wajar. Ini seharusnya menjadi iktibar dan peringatan kepada golongan selebriti.
Mansyarakat beranggapan bahawa isu ini menyentuh soal integriti terutamanya berlaku dalam kalangan selebriti yang popular serta berpengaruh. Hakikatnya banyak kes dilaporkan yang melibatkan golongan selebriti melanggar peraturan dan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasai bagi menangani wabak covid-19 dalam negara ini.
Apa yang mengecewakan masyarakat adalah golongan selebriti ini tidak hanya menyimpan itu semua untuk tatapan peribadi. Malah perbuatan yang melanggar peraturan itu dimuat naik di media sosial buat tatapan umum. Tindakan mereka amatlah tidak wajar kerana tidak menjaga sensitiviti masyarakat sama sekali.
Walhal ramai anggota masyarakat yang terkesan dengan apa yang telah berlaku terutamanya larangan untuk merentas negeri, pelbagai SOP dikuatkuasakan dan juga SOP bagi penganjuran majlis yang amat ketat.
Golongan selebriti serig menjadi tumpuan umum dalam kalangan masyarakat, hal ini kerana mereka ini merupakan seorang yang berpengaruh serta apa yang dilakukan oleh mereka sering menjadi ikutan para pengikut mereka. Seharusnya golongan ini menjadi suri teladan dengan mempertunjukkan sikap, tingkah laku dan amalan yang baik agar menjadi ikutan dan bukannya melanggar peraturan yang ditetapkan.
Tindakan selebriti ini yang memalsukan maklumat sekadar untuk mendapat kebenaran rentas negeri adalah tidak wajar sama sekali. Malah turut menaikkan kemarahan golongan masyarakat yang tidak mendapat kebenaran rentas negeri bagi urusan mereka yang lebih mustahak.
Tindakan golongan ini bukan sekadar menjejaskan imej mereka malah mampu menjatuhkan reputasi perniagaan mereka juga. Oleh itu kita berharap agar golongan selebriti mengambil iktibar dengan kejadian seperti ini sekali gus sentiasa memelihara integriti diri masing-masing.
Secara prinsipnya kita mahu golongan selebriti tidak menyalahguna kedudukan sehingga menjejaskan integriti mereka, sebaliknya gunakanlah pengaruh yang ada untuk sama-sama membantu pihak berkuasa mendidik anggota masyarakat khususnya dalam soal pendaftaran vaksin dan penjagaan SOP.
Tuntasnya, jadilah suri teladan yang baik kepada peminat anda. Jaga etika, sikap dan tingkah laku melalui amalan integriti yang tinggi supaya para peminat akan sentiasa menghormati kita. Ingat, membina reputasi dan imej itu akan memakan masa yang lama, tetapi ia boleh runtuh dalam sekelip mata andai kita tersilap langkah dan hilang nilai integriti.
Sumber: Harian Metro