Kementerian Kesihatan (KKM) akan memantau kemasukan ‘baby nanas’ di semua pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan ia mematuhi Akta Makanan 1983.
Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM Norrani Eksan, berkata sejak tahun lalu, pihaknya sudah mengenakan pemeriksaan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) ke atas ‘baby nanas’ (kulit berkupas) yang diimport.
Hingga kini, sebanyak 115 sampel buah nanas diambil bagi tujuan analisis pelbagai parameter.
Jelasnya, sebanyak 11 sampel didapati mengandungi siklamat dan disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM8,500.
Menurutnya, merujuk kepada isu buah nanas kecil atau dikenali ‘baby nanas’ yang tular di media sosial baru-baru ini dan didakwa mengandungi bahan pemanis tanpa zat siklamat, sebenarnya ia sudah tular pada 2017 dan 2019 di mana kenyataan akhbar berhubung perkara ini pernah dikeluarkan pada 31 Mei 2019.
Katanya lagi dalam satu kenyataan, Siklamat adalah sejenis pemanis tanpa zat yang memberikan rasa manis 30-50 kali lebih daripada gula sukrosa.
Norrani berkata, menurut Codex General Standard for Food Additives (GSFA), siklamat dibenarkan ditambah dalam makanan tertentu seperti jem, jeli, marmalad, produk koko dan hasilan coklat termasuk sapuan koko dan coklat sebatian serta minuman berperisa.
Ujarnya, namun siklamat tidak dibenarkan ditambah di dalam buah-buahan segar termasuk yang dikupas atau sedia dimakan. Peraturan-Peraturan Makanan 1985 turut tidak membenarkan penambahan siklamat pada buah-buahan segar.
KKM akan meneruskan pemantauan di semua pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan ia mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.
Beliau berkata, BKKM turut bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia bagi perkongsian data pemantauan nanas yang dijual di pasaran tempatan.
Tambahnya, seksyen 13(B) Akta Makanan 1983 memperuntukkan tiada seorang pun boleh menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang diadukan dengan mengandungi apa-apa bahan penambahannya tidak dibenarkan mengikut Akta Makanan 1983 atau peraturan-peraturan di bawahnya.
Menurutnya, mereka yang didapati melanggar peruntukan itu boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Justeru, katanya, peniaga diingatkan tidak mengadukkan atau menjual buah ‘baby nanas’ yang terdapat siklamat.
Sumber: Berita Harian