Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Selangor merampas sejumlah 3,823 naskhah, bahan dan hasil penerbitan al-Quran khususnya dari Indonesia menerusi Ops Naskhah bermula 1 Oktober hingga semalam.
Turut dirampas adalah 943 filem di dalam format cakera video digital (DVD) dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM110,221.19.
Pengarah Bahagian PKK KDN Selangor, Ahmad Hilmi Said, berkata rampasan berkenaan adalah hasil risikan dan operasi bahagian PKK dengan bahan-bahan yang dirampas itu tidak melalui atau melepasi tapisan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) dan Lajnah Tashih al-Quran dalam negara.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati naskhah al-Quran yang dirampas itu mengandungi penulisan ayat Al-Quran sudah dirumikan yang diperoleh dari Indonesia.
“Merumikan ayat al-Quran adalah tidak dibenarkan dalam negara ini dan sudah difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Ahmad Hilmi berkata, kecenderungan penggunaan ayat Al-Quran yang tulisan sudah dirumikan dibimbangi akan menyebabkan bahasa Al-Quran iaitu Bahasa Arab akan terpinggir.
Katanya, lebih membimbangkan LPPPQ apabila penggunaan ayat Al-Quran yang dirumikan itu akan menyalahi nahu Bahasa Arab yang mungkin akan menyebabkan maksud asal perkataan itu terpesong.
Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini, pihaknya tidak mengesan sebarang pembabitan sindiket dalam penjualan naskhah al-Quran itu. Sebaliknya, lebih kepada permintaan selepas dijual di media sosial.
“Harga yang ditawarkan adalah antara RM40 hingga RM100 mengikut saiz (al-Quran). Kes disiasat mengikut Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Kami akan terus mempergiatkan penguatkuasaan di pintu masuk utama negara di negeri ini iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pelabuhan Klang, dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.
“Kami juga akan menyasarkan kedai berkaitan yang menjual naskhah, bahan serta hasil penerbitan Al-Quran,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Hilmi menyeru agar orang ramai memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang bersalahan dengan undang-undang melalui talian 03-55190349 atau Instagram @pkkselangorkdn serta Facebook rasmi penguatkuasaan dan kawalan Selangor.
Sumber: Berita Harian
Baca Juga: Lelaki Mabuk Hampir Hilang Nyawa Selepas 20 Minit Dililit Ular
Seekor ular sawa hampir membelit seorang lelaki yang sedang memancing di sebatang sungai berhampiran kawasan Parihara Panchayat, Jharkhand, India baru-baru ini.
Ketika kejadian, lelaki yang juga seorang warga emas dikenali sebagai Birjalai Ram itu dikatakan sedang mabuk sebelum menemui ular sawa terbabit berhampiran dengan sungai.
Dia kemudian mengambilnya dan meletakkan di leher serta membiarkan reptilia itu sehingga haiwan tersebut membelit.
Selepas beberapa ketika, dia mula berasa sesak nafas dan berusaha untuk menjerit bagi meminta pertolongan kepada anak lelakinya.
Melihat keadaan itu, anaknya segera membantu untuk melepaskan ular tersebut daripada terus membelit leher mangsa.
Pada mulanya, anaknya cuba merentap ular tersebut sehingga menyebabkan warga emas itu terjatuh ke dalam sungai.
Anaknya bersama seorang lagi rakan kemudiannya berusaha untuk ‘membebaskan’ Birjalai Ram, namun tidak berjaya.
Setelah beberapa kali cubaan, dalam tempoh masa 20 minit akhirnya ular tersebut berjaya melepaskan belitan dan dilepaskan di kawasan berhampiran.
Sumber: Majoriti