Banjir: Mangsa Terpaksa Redah Hujan Lebat Bersama Bayi 3 Bulan Elak Terperangkap | Berhadapan dengan banjir bukan perkara baharu buat Suriani Zakaria, namun situasi pada malam 19 Dis lepas sedikit berbeza apabila beliau terpaksa meredah hujan lebat bersama bayi lelakinya berusia tiga bulan dengan bot apabila air sudah melebihi paras lutut.
Lebih membimbangkan ibu kepada tiga anak berusia 33 tahun itu apabila ular sudah mula membuat ‘kunjungan’ menerusi bahagian belakang rumah mereka di Kampung Surau Putih, Bukit Setongkol, di sini, membuatkan beliau sekeluarga nekad meninggalkan kediaman itu.
Beliau yang berpengalaman berhadapan dengan banjir sebanyak tiga kali pada tahun ini berkata, sejurus dapat mengesan paras air naik secara luar biasa, mereka sekeluarga telah membuat persiapan untuk berpindah dengan meminjam bot daripada abang iparnya.
Menurutnya, ketika ular masuk dia dan anak-anak berada di ruang tamu, dan ia bertukar ‘hura-hara’ sebelum suami dan kawannya terlihat binatang berbisa tersebut di bahagian dapur dan mereka sempat membunuh dengan mengetuk ular itu dengan pelbagai objek.
Baginya, insiden ular masuk ketika banjir bukanlah pertama kali, sekitar lima tahun sudah pernah jadi apabila ular sawa kelihatan ‘bertenggek’ di tangga rumah.
Bercerita lanjut, anak jati Pahang itu berkata sejurus mengambil barangan penting beliau bersama suami, bayi dan dua anak perempuan mereka bergegas menaiki bot ke kawasan selamat yang terletak lebih 100 meter dari rumah sebelum dibawa dengan kereta ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Setongkol.
Semasa kejadian sekitar 10 malam memang hujan lebat dan gelap, dia memberitahu bahawa dia dan keluarga tidak ada pilihan selain keluar rumah untuk selamatkan diri bimbang paras air naik lebih tinggi dan membahayakan nyawa terutamanya anak-anak yang masih kecil.
Menurutnya, setiap tahun mereka akan berdepan dengan banjir tetapi tahun ini sahaja sudah tiga kali iaitu pada Januari, Mac dan yang terbaharu minggu lepas. Dikatakan hampir kesemua perabot memang tidak boleh digunakan lagi.
Sementara itu, jiran Suriani, Anita Mansor, 49, berkata keselamatan anaknya Mohd Khairuddin Zolkifle, 29, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) diutamakan ketika kejadian banjir mula melanda Pahang pada minggu lepas.
Beliau yang bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berkata anaknya yang mempunyai masalah untuk berjalan selepas sembuh daripada lumpuh akibat kemalangan jalan raya pada 2012 telah dipindahkan ke rumah kenalannya di Setali, di sini, sejurus beberapa kawasan di bandar ini telah dinaiki air.
Menurutnya, setiap kali banjir memang anaknya menjadi keutamaan, apabila dia sudah ada tempat selamat barulah Anita fikir bagaimana untuk selamatkan barang-barang lain. Dikhabarkan kali ini beliau sempat pulang semula ke rumah untuk mengambil pakaian sahaja selain barang lain dilaporkan rosak akibat ditenggelami air apabila air hampir cecah paras bumbung.
Sumber: Astro Awani