Banjir: Mangsa Tunggu Bantuan, Tidur Atas Bumbung Bersama Isteri, Dua Anak Walaupun Hujan | Dilaporkan kerja-kerja menyelamat mangsa terkandas di Taman Sri Muda, Shah Alam masih diteruskan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Tidak hanya agensi kerajaan, malah pelbagai badan bukan kerajaan, sukarelawan turut tampil membawa bot persendirian mereka untuk membantu mangsa terkandas di sini.
Menerusi laporan Awani, ratusan sukarelawan dikhabarkan berada di sepanjang lebuhraya berhampiran kawasan kejadian yang dijadikan jeti sementara untuk bot berlepas.
Paras air yang dikatakan setingi tiga meter tersebut bagaimanapun dilihat tidak surut malah bergelora sehingga menyukarkan pasukan penyelamat untuk melancarkan gerakan menyelamat secara besar besaran.
Menurut mangsa, K Veerasingam ,46, bapa kepada dua anak ini hanya mampu bersyukur selepas pasukan penyelamat berjaya membawa mereka sekeluarga keluar dari kawasan banjir.
Jelasnya, air makin naik tetapi bantuan sampai. Dia menceritakan bahawa mereka terpaksa bersusah payah selama satu hari kerana terpaksa tidur di atas bumbung dalam keadaan sejuk walaupun sudah berselimut dan ia merupakan keadaan yang tidak boleh digambarkan.
Tambahnya, dia dan keluarga hanya memikirkan cara untuk menyelamatkan diri tanpa memikirkan harta benda selain bersyukur kerana berjaya diselamatkan oleh pasukan keselamatan.
Sementara itu, isterinya Sarawathy Balakrishnan, 37, berkata keadaan gelap gelita menyebabkan kedua anaknya trauma selain mengadu sakit badan kerana tidur semalam di atas bumbung.
Ujarnya, pada mulanya iaitu pada pagi jam 10 lebih air dah sampai lutut. Lama kelamaan, air ‘bah’ kelihatan semakin naik sehingga ke tingkat kedua menyebabkan dia terpaksa memecahkan tingkap rumah untuk keluar ke bumbung dan duduk disitu dari pagi semalam sampai semalam (malam Ahad).
Anak-anaknya dikatakan mengalami sakit kaki namun bersyukur kerana pasukan penyelamat sempat menyelamatkan mereka dari kemelut tersebut.
Selain itu, dilaporkan seorang wanita mengandung juga berjaya diselamatkan pasukan penyelamat.
Mangsa, Fakrul Azri, 22, hanya mampu bersyukur selepas dirinya dan isterinya yang sedang sarat mengandung berjaya dibawa keluar oleh pasukan penyelamat.
Dia menyatakan bahawa bekalan makanan mereka hampir habis dan tidak menjangka banjir akan menjadi seburuk ini kerana sebelumnya ia hanya diparas lutut. Barang-barang penting miliknya dan isteri juga tidak dapat diselamatkan selain hanya sempat panaskan air untuk masak maggi sebelum bekalan elektrik terputus.
Tambah Fakrul, beliau dan isteri hanya menggunakan telefon bimbit ketika perlu untuk memastikan bateri tidak habis.
Dia menyifatkan bahawa ini adalah banjir terburuk kerana air naik setinggi 3 meter.
Difahamkan lebih 20 buah bot digunakan pasukan penyelamat daripada agensi kerajaan, persendirian dan badan bukan kerajaan.
Sumber: Astro Awani