Chalet Dilanda Banjir Lumpur, 3 Mangsa Termasuk Kanak-kanak Hilang Dibawa Arus | Tiga termasuk seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang selepas mereka dipercayai dibawa arus sungai di sebuah chalet di Bentong, Pahang, baru-baru ini.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani, semua mereka adalah sebahagian daripada 35 individu yang berada di chalet berkenaan dan terperangkap akibat banjir lumpur pada 11.40 malam tadi.
Jelasnya, kesemua mangsa yang dikatakan hilang tersebut merupakan warganegara Malaysia dengan masing-masing adalah seorang dewasa lelaki dan wanita, namun setakat ini, identiti mereka masih belum dapat dikenal pasti.
Menurut Ismail, mangsa yang selamat termasuk lapan kanak-kanak ditemukan dalam keadaan kesejukan setelah berada di luar chalet kerana tidak berani berada dalam chalet yang dibimbangi tidak selamat.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan sebaik sahaja dimaklumkan kejadian dan pasukan penyelamat berjaya menjumpai mangsa yang terselamat pada 4.09 pagi sebelum operasi membawa keluar tersebut tamat pada jam 8.30 pagi tadi.
Walau bagaimanapun, selepas kiraan mangsa dibuat, tiga mangsa tidak ditemui, ujarnya lagi.
Operasi terbabit dilaporkan telah dikendalikan oleh Balai Polis dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands yang dibantu BBP Gombak dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Pahang.
Operasi mencari mangsa hilang hari ini yang membabitkan 22 pegawai dan anggota bomba serta tiga anjing pengesan, ditangguhkan pada 6.30 petang semalam ekoran cuaca gelap dan akan bersambung semula hari ini.
Sumber: Harian Metro