Bapa Keluar Penjara Selepas 13 Tahun Disambut Anak Cucu Buat Ramai Sebak. | PETALING JAYA – Suasana sebak bercampur gembira dapat digambarkan tatkala seorang lelaki yang dibenarkan keluar dari penjara serta disambut oleh anak, cucu serta menantu yang sedia menunggu kepulangannya di luar.

Video tersebut dikongsikan seorang wanita menerusi TikTok yang juga anak lelaki tersebut sekali gus menerima maklum balas positif daripada pengguna yang tersentuh melihat suasana tersebut.

Berdasarkan keterangan video, pengguna TikTok itu memberitahu selama 13 tahun mereka menyambut Aidilfitri tanpa kehadiran bapa selepas lelaki tersebut dimasukkan ke penjara, manakala lima tahun berhari raya tanpa ibu disebabkan wanita itu telah meninggal dunia.

“Tahun kelima raya tanpa ibu, selama 13 tahun raya tanpa abah. Akhirnya raya 2023 raya dengan abah. Ibu dah tinggalkan kami lima tahun, hati abah sedih sebab keluar-keluar, ibu dah tak ada. Ibu tunggu di syurga.

“Semoga kami sekeluarga bahagia bersama selamanya walaupun tak sempurna. Tapi ibu masih tetap di hati kami semua,” katanya pada hantaran tersebut.

Berdasarkan video itu, bapa kepada wanita itu dilihat memakai baju dan seluar warna putih keluar dari Penjara Kajang serta terus memeluk anak dan cucu yang sedia menunggu di luar.

Menjengah ke ruangan komen, ada pengguna media sosial tersentuh hati serta menangis melihat keluarga tersebut ditemukan bersama bapa mereka.

“Aku menangis tengok video ini. Jaga dan berbaktilah kepada abahmu. Lupakan kisah silam dia, bina hidup baharu. Bangga denganmu adik-beradik,” kata Fiza meninggalkan komen.

“Arwah ibu sis seorang yang hebat mendidik anak-anaknya diajar tidak membenci ayahnya. Semoga berbahagia selalu,” ujar CikDiandra_1.

Dalam masa sama, seorang lelaki difahamkan kakitangan Penjara Kajang turut memuji peribadi bapa wanita itu yang disifatkan seorang yang baik.

“Ya Allah kenangan jaga ayah awak. Dia baik sangat. Cakap pada dia kirim salam,” katanya.

@hudaamy92 Tahun ke lima raya tanpa ibu 😭 selama 13tahun raya tanpa abah..akhirnya tahun 2023 raya dengan abah..ibu dah tinggal kan kami 5 tahun hati abah sedih sebab keluar2 ibu dh tak ada ibu tunggu di syurga 😭..semoga kami sekeluarga bahagia bersama selama nya walaupun xsempurna tapi ibu masih tetap di hati kami semua 😭😭#VideoPerjalanan #fyp #foryourpage #kisahdiriku ♬ original sound – hudaamy92

Sumber: Kosmo

Baca Juga: Kelibat Gajah Masuk Penjara Kluang Ditemui

KLUANG – Kemasukan atau kacau ganggu gajah ke kawasan penempatan bukan perkara pelik kerana ianya berlaku hampir setiap bulan, malah ada yang menggelarkan daerah ini seperti kawasan safari.

Pada 16 Disember baru-baru ini, seekor gajah dilaporkan berada di kawasan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) di Batu 17 Jalan Kluang – Mersing, manakala kelmarin seekor gajah di kesan berada berhampiran pusat pentadbiran Penjara Kluang.

Bagaimana pun, kehadiran gajah yang hanya seekor itu menimbulkan persoalan kepada orang ramai kerana kebiasaannya binatang yang lebih sinonim dengan gelaran sebagai ‘orang kuat’ ini bergerak dalam kumpulan yang banyak.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Sri Tambak yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 55, turut mempersoalkan seekor gajah sebesar itu boleh berada dalam kawasan pentadbiran Penjara Kluang sedangkan sedia maklum keseluruhan kawasan menempatkan pesalah itu berpagar rapi.

“Macam mana binatang itu boleh masuk sedangkan apa yang kita ketahui bahawa keseluruhan kawasan ini berpagar yang tidak mungkin dapat dibolosi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor mengesahkan berlaku kejadian seekor gajah dipercayai tersesat dan memasuki kawasan Penjara Kluang kelmarin.

Pengarahnya, Aminuddin Jamin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada pihak Penjara Kluang pada pukul 10 malam kejadian dan menugaskan tiga orang kakitangan jabatan itu ke lokasi.

Katanya, gajah dewasa itu dipercayai tersesat daripada kumpulannya dikenali sebagai ‘Grup Tenang’ yang difahamkan mempunya kira-kira 15 ekor.

“Susulan itu, gajah berkenaan dihalau dengan menggunakan kaedah ‘tembak dan halau’ selain mengiringinya hingga ke kawasan selamat.

“Kita juga ambil tindakan dengan menembak ke udara beberapa kali menuju hutan berhampiran iaitu Hutan Gunung Lambak,” Katanya hari ini.

Ujarnya lagi, pihak Perhilitan akan melakukan pemantauan berterusan dan kawalan di lokasi sehingga keadaan benar-benar selamat dan mengesahkan kejadian gajah memasuki kawasan penjara di negeri ini adalah kali pertama berlaku.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply