JAKARTA – Seorang lelaki di Manado, wilayah Sulawesi Utara tergamak memukul bayi perempuannya yang berusia enam bulan sehingga meninggal dunia, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia semalam.
Suspek yang hanya dikenali sebagai AB, 25, didakwa berasa terganggu dengan suara tangisan anaknya itu ketika bermain permainan video dalam talian.
“Pelaku terganggu dengan tangisan anaknya ketika sedang bermain permainan online.
“Dia memukul bibir dan kepala mangsa menggunakan tangan. Suspek kini telah ditangkap,” kata Ketua Perhubungan Awam Polis Wilayah Sulawesi Utara, Jules Abraham Abast.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Bhayangkara Manado untuk rawatan. Malangnya, bayi itu tidak dapat diselamatkan.
“Pegawai perubatan memaklumkan bahawa terdapat kejanggalan mengenai punca kematian bayi itu. Jadi, penyiasat kami datang ke hospital untuk melihat keadaan mangsa.
“Penyiasat kemudian meminta bedah siasat dilakukan,” jelas Jules.
Hasil bedah siasat mendapati terdapat tanda-tanda objek kekerasan akibat tumpul ditemui pada mayat mangsa, kata Jules.
“Mangsa disyaki dilakukan kekerasan menggunakan objek tumpul terutamanya di bahagian muka dan kepala.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek sering mendera anaknya seawal usia empat bulan dengan menyalakan puntung rokok di perut selain turut menggigit perut mangsa,” tambahnya.
Suspek ketika ini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sulawesi Utara untuk siasatan lanjut.
Susulan daripada itu, suspek yang bekerja sebagai buruh pembinaan telah ditahan untuk membantu siasatan. Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Jururawat Dan Suri Rumah Didakwa Memperdagangkan Bayi
Dua wanita termasuk seorang jururawat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia sembilan hari, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Noor Azlina Mohd. Nasir, 41, dan D. Murugamal, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan serentak di hadapan Hakim Norashima Khalid.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua wanita itu didakwa memperdagangkan bayi perempuan berusia sembilan hari di kawasan letak kenderaan berdekatan sebuah hospital swasta dalam daerah Manjung, pada pukul 12 tengah hari, 18 Jun 2020.
Noor Azlina yang merupakan jururawat di sebuah hospital di Alor Setar, Kedah manakala Murugamal yang juga suri rumah didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh namun peguam, Mohd. Firdaus Mohd. Farouk memohon jaminan rendah dikenakan terhadap anak guamnya.
Menurut Mohd. Firdaus, kedua-dua anak guamnya itu telah berkahwin di mana Noor Azlina mempunyai lima anak dan bekerja di sebuah hospital di Alor Setar manakala Murugamal yang tidak bekerja dan tidak mempunyai anak itu menghidap sakit jantung dan kencing manis.
Hakim Norashima kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin ke atas setiap tertuduh dan menetapkan 24 Februari ini untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.
Sumber: KMN